Friday, 25 March 2011

SESUATU YANG BARU

"...Tolong ingatkan aku kisah ku tersedar, dengan saku penyeluk masa...hoouuoo...." 
Tolong Ingatkan Aku - Anna Raffali
Semoga Allah swt tidakkan jemu mengangkat saya bangun semula.

Program ke-2 Di Bawah Langit, Di Atas Bumi. Cuba mengajar 'Untuk berjaya pasti ada halangan'.
Rasanya kali ini lebih teratur.

TIDAK MUDAH

Masyarakat mempunyai persepsi yang salah terhadap doktor. Hidup senang. Begitu juga dengan bakal-bakal doktor. Termasuklah saya suatu ketika dulu.

Beban kerja yang berat – selalu kita dengar tetapi berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Di medikal, hampir setiap minggu bekerja Sabtu dan Ahad. Tiada hari cuti ganti.

Menjaga  kubikel akut(acute cubicle) di Cardiac Rehabilitation Ward
selama seminggu. Boleh tahan.

Namun setelah beberapa lama, mungkin kita dapat sesuaikan diri. Namun sampai bila? Ini bukanlah sesuatu yang saya ingin lakukan untuk bertahun-tahun.

Dialog - Semasa memasukkan branulla, cuba mengalihkan perhatian atuk Cina daripada sakit. "Dulu pakcik kerja apa?" "Berniaga." "Wooow saya pun nak berniaga gak," saya teruja. "Kamu senang kerja doktor," kata pakcik. "Manader senang pakcik," kata saya dengan nada sedih. "Sekarang susah, nanti lepas 2-3 tahun kamu senanglah." Hmmmm.


BN = ?Tong Sampah
TEMAN BARU

Apabila menghadapi kesusahan dan kebosanan hidup, mempunyai perkara baru dalam hidup adalah bagus. Kerana ianya mengizinkan minda anda ‘lari’dari masalah untuk seketika. Ruang untuk berehat sebelum terus dengan kehidupan. Manusia perlukannya.

Saya telah pindah dan duduk  di Bandar Baru Sentul. Di saat hilang semangat bekerja, saya ingat Allah swt dan juga fikir bagaimana mahu menghias bilik kosong saya. Perabot apa dan bagaimana yang mahu dibeli. Patutlah orang perempuan suka membeli-belah. Mereka ‘lari’daripada masalah.

Saya dah buat fully carpet. Tinggal perabot.

Dialog - Sebelum discharge seorang pesakit lelaki muda India(telah telan pil tidur setelah gaduh dengan teman wanita), saya nasihatkan supaya jangan buat lagi. Kawannya menyampuk, "Ini cintaaa bang, cinta." Saya tersentak dengan jawapannya. Sambil mengangguk, "Saya tiada girlfriend jadi saya tidak faham." "Huahauaha," mereka gelak. Nakal budak-budak zaman sekarang.

Saya juga telah menjumpai teman hidup. Seseorang yang memberi keselesaan dan ketenangan apabila bersama. Apabila melepas geram, dia ikut saja kata saya.

Saya namakan dia Bawang Merah.
TINGGAL DAN PERGI

Saya telah mendengar berita seorang kenalan perempuan telah berhenti bekerja. Berhenti menjadi doktor.  Saya juga telah mendapat panggilan menyampaikan pesanan daripada Pengarah HKL supaya memujuk dia kerja balik. Fuuiiiyooo! Mungkin pengarah tidak tahu, saya pun terasa hendak berhenti kerja kadang-kadang tu.

Kerja atas panggilan bersama Dr Zubaidah junior semasa di Volgograd dulu.

Kenalan saya tu setakat yang saya kenal, lemah lembut perwatakan dan kata-katanya. Tidak ‘masuk’ dengan bidang kedoktoran di Malaysia. Saya pernah katakan dulu doktor perempuan akan menjadi lebih maskulin setelah lama bekerja. Ini terbalik dengan persepsi umum bahawa doktor pastinya seorang yang penyayang.

SIMPANG  HIDUP

Beliau mungkin membaca blog saya. Maka kata saya begini. Ia bergantung pada apa yang kita mahu dalam hidup kita. Setelah kita pasti apa yang kita mahu, teguhlah dengan pendirian kita tanpa pedulikan persepsi sekeliling. Kejayaan di dunia ini datang dalam pelbagai bentuk.

Namun jika kita tersilap langkah, jangan pula takut untuk berubah. Sekali lagi jangan pedulikan persepsi sekeliling. Manusia dicipta berbeza-beza kendirinya. Ia bukan tandanya kita lemah. Ambillah masa anda.

Kerap saya katakan, bila bermasalah, kita lihatlah langit.

Dialog - Seorang rakan HO telah tamat penempatan di Jabatan Perubatan Am. Beliau telah dilanjutkan tempoh penempatan(extended) selama 3 bulan sebelum ini. Memandangkan beliau telah berjaya harungi 7 bulan di Jabatan Perubatan Am, saya kata pada beliau pada hari terakhirnya, "Berikan aku nasihat." Kata beliau, "Bayangkan keadaan pesakit. Adalah lebih baik kita menjadi doktor yang sibuk berbanding pesakit yang sakit." Ada jururawat yang menangis atas pemergian beliau.

KATA AKHIR

Kata kawan, “Kau cubalah telefon pujuk dia tu.” “Karang aku pujuk, lain pulak jadinya,” kata saya. “Haaah baguslah camtu.”


Kenangan - kancil nyaris di hempas kaca tingkap.
Kenangan - kancil rosak di PLUS dalam perjalanan ke kenduri kahwin kawan.
Kancil - jasamu dikenang.


Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Saturday, 19 February 2011

JABATAN PERUBATAN AM

Salam

SIBUK

Sudah sebulan saya berada di Jabatan Perubatan Am. Tema hidup kini adalah ‘Sibuk, sibuk dan sibuk.’ Walaupun jaga pesakit 10 orang sahaja beberapa minggu lepas, tetapi kerjanya tiada henti. Habis satu kerja, datang kerja yang lain.

Zaman belajar dulu tidaklah sibuk.
Penting untuk bekerja dengan tersusun di sini supaya kerja dapat dilaksanakan dengan baik. Maka selepas round pagi doktor pakar, saya akan senaraikan pada sehelai kertas semua kerja dan prosedur yang perlu dibuat. Di jabatan lain, saya hanya ingat di kepala sahaja sudah cukup.

ATURAN

Untuk penempatan Perubatan Am di HKL, doktor perubatan siswazah akan ditempatkan selama 2 bulan di wad lelaki dan 2 bulan di wad perempuan. Selain itu di dalam jangkamasa tersebut, kita juga akan diletakkan di peripheries selama sebulan seperti di Coronary Care Unit(CCU), Coronary Rehabilitation Ward(CRW), High Dependency Ward(HDW), wad geriatrik, wad stabil dan juga di physician clinic(PC).

Rindu Vietnam.
Saya telah memohon kepada Abg Fazli Rambut Panjang(pengurus Peg Perubatan Siswazah di Jabatan Perubatan Am) supaya meletakkan saya di CCU kerana ianya tampak mencabar dan juga di PC supaya saya dapat pendedahan sebelum membuat locum kelak(duit-duit-duit).

Sekali ketika saya ke pejabat untuk menguruskan sesuatu, Fazli menyambut dengan kata, “Saya sayang?.... saya sayang?...” seperti suruh saya menghabiskan ayat. Saya yang terpinga-pinga pun menjawap, “..sayang menyayang?!” Rupanya beliau merujuk kepada artikel blog saya yang lepas. “Saya sayang sate laksa laaahhh.” Lepas tu gelak seorang.


BEZANYA

Bekerja di Jabatan Perubatan Am benar-benar membuka mata saya tentang pelbagai jenis penyakit yang wujud di muka bumi ini. Kerana kita terdedah dengan pelbagai jenis penyakit yang setiapnya memerlukan pelan rawatan yang tersendiri. Daripada penyakit yang kerap jumpa seperti Hypertensive urgency dan Uncontrolled Diabetes Mellitus hinggalah ke yang jarang dijumpa seperti Bell’s palsy, Elephantiasis dan Horner's syndrome, kita perlu tahu apa yang perlu ‘dicari.’

Apakah ini??!!
Bagusnya ini menyebabkan saya lebih banyak rajin membaca kebelakangan ini. Ini sangat berbeza berbanding penempatan yang lain. Saya sudah mula cetak kebanyakan Clinical Practice Guidelines dan membacanya.

MATI AKAL

Namun kadang-kadang tu, kita sendiri tidak tahu apa penyebab/penyakit  kepada tanda-tanda yang ada pada seorang pesakit. Selepas beberapa hari, tanda-tandanya menjadi semakin pelik. Keesokan paginya datang kerja, perasan pesakit sudah tiada di wad. Beliau telah meninggal setelah membentuk severe metabolic acidosis.

Ada kes pula, pesakit datang pada waktu petang dengan hanya mengadu rasa letih. Tengok-tengok sel darah putih meningkat sehingga White Blood Cell – 510. Full blood picture segera menunjukkan beliau ada Chronic Myeloid Leukaemia. Keesokan paginya menghadapi sesak nafas dan meninggal. Kami suspek beliau mendapat Tumour Lysis Syndrome. Begitu cepat perubahan berlaku pada pesakit.

Sampel darah pesakit tersebut di dalam tiub EDTA.
Boleh dilihat satu lapisan sel darah putih terapung.

SENIORITA

Bagusnya di sini, saya dapat banyak melakukan prosedur seperti lumbar puncture, bone marrow aspiration, peritoneal tapping dan sebagainya. Malah saya dapat intubate seorang pesakit dengan Mallampati Class 4.
Langit di Volgograd, Rusia.

Malah memandangkan saya sudah senior penempatan ke-5, MO lebih mempercayai saya. HO muda yang lain juga merujuk pada saya dan senior lain bila bertanya atau memerlukan bantuan. Maka saya pun mengambil kesempatan menambah pahala dengan mengajar mereka. Ambil kesempatan!

KATA HATI

Dato’Jeya(ketua jabatan) sewaktu perjumpaan dengan HO ada bertanya, “Among you all, who really wants to become a doctor?” Beliau terkejut apabila hanya 4-5 orang yang mengangkat tangan di kalangan 40 HO di situ. Beliau membuat kesimpulan bahawa kebanyakan daripada kami tiada niat pun ingin menjadi doktor. Saya tidak mengangkat tangan.

Namun persoalan bermain di fikiran saya seketika. Saya percaya ramai di kalangan kami yang berminat menjadi doktor sebenarnya, namun suasana dan keadaan kerja di hospital kerajaan di Malaysia yang telah berjaya melunturkan cita-cita kami dan menjadikan kerja ini hanya sekadar mencari makan.
Penghalang perubahan persekitaran kerja
doktor perubatan siswazah di Malaysia?
Penghalang perpaduan umat Islam di Malaysia?
Mungkin satu hari nanti saya akan menulis dengan panjang lebar berkenaan perkara ini.

ILTIZAM

Apa-apapun sekarang ini, saya sedang berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan juga pelan rawatan saya ke tahap MO memandangkan saya akan menjadi MO tidak lama lagi. Dan suatu hari nanti, jika hati saya masih berminat, saya akan berusaha menjadi seorang doktor pakar.

Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu? Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu. Yang memberati tanggunganmu,? Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu? Oleh itu, maka bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai, maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha, Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon. (Ash-Syar-h 94:1-8)

Patutkah saya memilih jalan lain?
Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Tuesday, 1 February 2011

ERTI HIDUP PADA MENYUMBANG

Salam

PERBICARAAN TV

Ada sekali saya menonton sebuah rancangan perbicaraan di TV1, membincangkan mengenai perubahan iklim dunia. Di mana salah seorang ahli panelnya adalah seorang pemuda. Beliau telah menubuhkan sebuah organisasi memperjuangkan ‘isu hijau’ sewaktu menuntut di universiti lagi. Beliau baru sahaja tamat belajar.

Berkesempatan makan malam bersama kawan lama sewaktu di SMKTUN, Skudai dulu.
Ramai juga yang telah berhijrah ke Lembah Klang.

Pastinya membuatkan saya kagum adalah semangat perjuangan yang sudah ada pada usia muda lagi. Sebenarnya pada pendapat saya, keinginan untuk menyumbang itu perlu ada pada setiap individu.

POLITIK KOTOR

Senario politik di negara agak menyedihkan. Budaya saling menuduh, memburukkan, menyalahkan dan memfitnah sudah menjadi kebiasaan. Malah ada yang sanggup ke luar negara memburukkan negara sendiri. Ini semata-mata kerana kuasa.

Politik kotor menjana kegelapan.
Akibatnya kebencian yang disemai melahirkan rakyat yang ‘pandai’ menyalahkan kerajaan dan meminta-minta apabila terdapat 'kekurangan.'

MEMBINA NEGARA

Membina negara memerlukan rakyat yang proaktif dan berkeupayaan(modal insan yang tinggi). Malah pada hemat saya, itulah kriteria utama untuk membina negara supaya maju, kaya dan makmur.

Jika kita inginkan negara yang bersih seperti Jepun, maka kita sebagai rakyat harus bersikap bertanggungjawab dalam membuang sampah, di samping kerajaan perlu menyediakan tong sampah di kawasan strategik. Jika mengharapkan kerajaan semata-mata pun boleh, di mana undang-undang yang sangat ketat dikenakan. Namun sebaik keluar dari negara mereka, mereka lagi ‘menang’ dalam membuang sampah dan melanggar undang-undang jalanraya seperti rakyat Singapura. Itu bukan yang kita mahu.
Belilah barangan buatan Malaysia.
Begitu juga  dalam membina bangsa, kita juga perlu berusaha dengan cekal dan bersatu padu, dan bukan mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.

DI BAWAH LANGIT, DI ATAS BUMI

Di dalam artikel saya dulu, saya ada pernah sebut bahawa sedang mengusahakan sebuah projek. Alhamdulillah ianya telah mula bergerak.

Dalam proses menjayakannya, ada masanya putus semangat, tidak dapat berjumpa pengarah HKL kerana beliau sibuk, saya pun sibuk dengan kerja sendiri, curi-curi masa berjumpa dan bekerjasama dengan unit kaunseling(setelah diarahkan pengarah), tertangguh-tangguh berbulan-bulan dan akhirnya berlangsunglah juga program pertama kami.

Perbincangan post-mortem bersama dari kiri Yani(pelajar kaunseling), Pn Ruhana(kaunselor)
dan Cik Arni(kaunselor). Pn Ruhana kata Pengarah HKL masa mesyuarat pentadbiran pagi tu sibuk
bertanya berkenaan aktiviti kami yang berlangsung semalam. Siap suruh buat
kertas kerja rasmi untuk dapat peruntukan. Yeeehhaaaa!

Program ‘Di Bawah Langit, Di Atas Bumi’ dibentuk berlandaskan satu hypothesis bahawa kemelut sosial generasi muda adalah disebabkan kematangan seksual telah mengatasi dan menindas kematangan intelektual individu. Maka program ini cuba merangsang kematangan intelektual anak-anak lebih awal, dengan mendedahkan mereka realiti kehidupan pada usia muda, dan mengajar tentang nilai-nilai yang akan membantu mereka(seperti mempunyai cita-cita, hidup sebuah perjuangan, nikmat ilmu dan sbgnya).

Aktiviti pertama kami bersama Dr Izat dan Cik Wan(kaunselor). Anak-anak
yang sukar tumpukan perhatian.

Banyak perkara yang perlu dibaiki daripada aktiviti pertama. Memerlukan modul
yang tersusun dan penggunaan kata-kata yang mudah difahami antara
yang kami dapat simpulkan.

Dengan mengadakan program di persekitaran harian anak-anak, dijangka deria dan minda mereka lebih mudah untuk menerima apa yang cuba disampaikan(maka nama program diberikan “Di Bawah Langit, Di Atas Bumi”).

Berharap ianya dapat membentuk generasi muda yang mempunyai jati diri yang kukuh di masa hadapan.

ANJAKAN MINDA
Mencari ilham di Sungai Mekong.
Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-Baqarah 2:148)
Saya menyeru semua rakyat Malaysia agar hentikan mentaliti membangkang, sebaliknya berinisiatif menyumbang sesuatu kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Segala perubahan kecil atau besar bermula dengan perubahan diri dan bukan orang lain. Inginkan negara yang bebas rasuah, ubah diri anda. Inginkan negara yang bersatu padu, ubah diri anda dahulu.

Di sebalik rusuhan yang sedang berlaku di Mesir dan Tunisia, saya berharap Malaysia akan terus maju, aman dan makmur.

Anwar Ibrahim - hari beliau menjadi Perdana Menteri adalah
hari saya akan aktif berpolitik.
Harap segala kebajikan akan menghapuskan segala dosa.
Salam 1Malaysia.


Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Friday, 14 January 2011

PARI-PARI SAIGON

Salam

LARI DARI HOSPITAL

Kali terakhir saya benar-benar melancong adalah sewaktu balik tamat belajar di Rusia, singgah di Dubai, Emirah Arab Bersatu. Agak lama jugalah. Jadi saya ambil kesempatan cuti penghujung penempatan kali untuk melancong ke Ho Chi Minh atau Saigon, Vietnam. YEeeeAAAHHhooo!!!
Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula. Al-Mulk 67:15

Terbang jauh mencari angin baru.

Doktor juga perlu berehat. Kenapa Saigon? Kerana saya ada kawan Anas yang bekerja sebagai jurutera Petronas di sana.

LANGKAH KANAN

Sebelum kapal terbang berlepas, tiba-tiba kawan menggelabah suruh tukar tempat duduk dengannya. Saya tidak kisah saja, tengok-tengok ada gadis Vietnam cantik duduk di sebelah saya! Saya duduk dan tenangkan diri.

“Azzad kau kena beranikan diri,” saya beritahu diri saya.

“Are you a Malaysian or a Vietnamese?” Dia senyum dan kami bersembang sepanjang perjalanan.

KEHIDUPAN DI VIETNAM

Vietnam kini adalah ekonomi paling cepat berkembang di rantau Asia Tenggara dengan kadar pertumbuhan 7% setahun dengan kadar konsisten. Kini rakyat Vietnam hidup dengan lebih berkemampuan sehingga Tourism Malaysia turut melebarkan aktiviti promosi hingga ke sana.

Setelah kapal terbang selamat berlepas, kami sambung bercerita. Walaupun beliau bercakap dengan ‘broken English’, namun saya rasa selesa bersembang dengannya. Beliau mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Saya suka.


Bandar Ho Chi Minh pesat berkembang.
Kemudiannya, beliau mula bertanya saya umur berapa(25 tahun) dan kerja apa(macam biasalah doktor). Dia mula bercerita tentang impian hidup dia untuk membuka Coffee Cafe sendiri, mahu hidup ‘senang’, berkahwin dan mempunyai anak.

Saya sudah mula rasa tidak selesa.

KESUSAHAN HIDUP

Namun setelah lama bersembang, saya mula fahami dia bukanlah tergila-gilakan saya(desperate). Mendengar cerita kesusahan hidup beliau dulu menyentuh hati. Beliau terpaksa berhenti sekolah untuk membantu ibu bapanya mencari rezeki. Saudara-mara yang hidup mewah tidak sudi membantu. Apabila menceritakan tentang kehidupan saya, beliau ada memberikan satu nasihat yang mencengkam jiwa saya. Alangkah baiknya jika saya sentiasa mempunyai penasihat baik sebagai teman.


Tetapi kini keluarga beliau sudah hidup senang setelah ayahnya mempunyai perniagaan sendiri. Itulah sebabnya beliau boleh melancong selama sebulan di Malaysia!


Perkenalkan Trang Dai gadis Vietnam yang saya ceritakan.
Memakai kot MANGO RM300 yang kakak beliau belikan - antara
perkara yang kami sembang.
SAYA SAYANG

Sedang bercerita tentang budaya masing-masing, tiba-tiba Trang Dai pandang mata saya lalu berkata, “Saya.... sayang.... saya sayang...” Dupdup Dup dup, jantung saya berdegup kencang. Paru-paru berhenti bernafas. Kawan yang duduk sebelah pun bagaikan tidak percaya.

“Saya sayang... laksa.... sate.”  Apaaa!!/^&%$. Kecewa dan patah hati saya. Rupanya Trang Dai ingin katakan menggunakan bahasa Melayu, beliau suka makan makanan tempatan. Pasrah.

Bila saya ceritakan perkara ini pada kawan-kawan lain di terminal kapal terbang Saigon, mereka tergelak bagaikan orang gila.


Muka-muka doktor apabila dapat larikan diri dari hospital.
Bersama Dr Asrul dan Dr Hafiz.
Percutian bermula!!
REHAT MINDA

Apabila telah meninggalkan Malaysia, barulah minda seorang doktor mampu berehat dengan sepenuhnya. Tiada tekanan dan tiada kerisauan.


Perkara pertama kami perasan adalah banyak GILA motorsikal di atas jalan
seperti konvoi.

Di depan bangunan pentadbiran Saigon.

Di sepanjang lebuhraya mereka, banyak terdapat kawasan
rehat seperti ini. Banyak sangat.

Menaiki bot bersiar di Delta Mekong.

Di tengah-tengah sungai, bot-bot pemborong akan bertukar barang secara barter.

Merasai teh dan madu buatan Vietnam. Sedap lain macam.

Pakaian seragam sekolah di Vietnam.

Dr Asrul - model sambilan.

Seronoknya naik sampan. Postur pelik- tidak sesuai menjadi model.

Comel tidak?

Anak Vietnam ni comel sangat - cuba jual gelang pada saya.

Di Cu Chi Tunnel - senjata rahsia Vietkong memenangi Perang Vietnam.

Memasuki salah satu terowong sebenar. Lubang masuk dibuat kecil supaya askar Amerika
yang berbadan besar tidak dapat masuk. Dalamnya gelap sangat, tiada cahaya langsung.
Ruangnya sangat sempit, saya hanya mampu merangkak. Rasa takut betul kerana
tidak nampak apa-apa, hanya dengan meraba dinding terowong mengemudi diri merangkak ke
lubang masuk seterusnya. Oksigen tidak cukup!

Bagi setiap kawasan terowong akan ada seorang wanita yang menjaganya.
Dia mengetahui selok belok terowong dan akan menegemudi tentera Vietkong.

Jangan setakat main Counter Strike, cubalah tembak dengan peluru hidup menggunakan
AK47.

Menziarahi salah satu daripada 14 masjid di Saigon. Terdapat ramai orang
Campa(Melayu Islam asal Kemboja) di sana.
Di kawasan kampung di Vietnam, orang mereka juga menghormati agama
orang lain. Apabila saya minta izin untuk solat di kawasan mereka,
mereka sediakan bilik lagi.

Macam saya katakan. terdapat banyak GILA motorsikal di jalanraya Vietnam.

Tolong mengawal trafik di Saigon.



STRATEGI HIDUP

Ketika kita berada di tempat asing, minda kita mampu menelaah satu persatu serpihan kehidupan kita apabila melihat balik. Dalam perjalanan balik dari Delta Mekong, saya merungkai kehidupan saya dan menyusun strategi hidup yang baru. Kata kunci adalah cekal.


Langit di Vietnam.

TAMAT SEBUAH EPISOD

Sehari sebelum saya pulang ke Malaysia, saya ada telefon Trang Dai untuk mengajak beliau keluar bersama kawan-kawan saya yang lain. Malangnya beliau telah balik ke kampung.


Anas pula masuk ke hospital pada hari kami pulang, terkena Influenza A. Sebelum tu, Anas ada berkata, "Azzad apa ciri perempuan yang kau nak, meh aku tolong carikan kat Petronas." Terima kasih sahabat.
Kaffarah dosa. Apatah dosa yang dilakukan Anas di Vietnam.
Anas kelihatan menyesal.



Secara kesimpulan, percutian ke Saigon kali ini adalah terbaik. Gadis Vietnam saya dapati lebih feminin berbanding gadis Malaysia. Walaupun ramai orang Vietnam masih hidup susah, namun mereka tampak gembira.

Kata-kata akhir Trang Dai, “Take care. See you again.” Haaiiihhh(cair)......

InsyaAllah seterusnya saya akan masuk ke Jabatan Perubatan pula.

Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.