Friday 31 December 2010

DUNIA NYATA

Salam,

HARIMAU MALAYA

Berjuang demi negara. Ayuh!! Bersama Dr Khalid
dan Dr Najmi.
Tahniah diucapkan kepada pasukan Harimau Malaya yang telah menanam perasaan bangga di dalam diri setiap rakyat Malaysia setelah memenangi Piala AFF Suzuki 2010. Saya bersetuju dengan peringatan PM Dato’Seri Najib, “Jangan sokong ketika menang saja.” Terharu melihat begitu ramai rakyat Malaysia datang mengemuruni Stadium Bukit Jalil menyokong pasukan negara. Malaysia Memang Boleh!

Menyambut gol ke-2 Malaysia di Stadium Bukit Jalil.

PENILAIAN

You can’t even present this case properly to me!!!,” jeritan Dr Haliza(Pakar Perunding Kanan) boleh kedengaran dari hujung wad. Seketika, saya rasa bersyukur berada di bawah Pasukan Gyne-Onco kerana tidak perlu ‘berselisih dengan beliau.’ Namun seperti saya kata sebelum ini, kita tidak akan dapat lari daripada masalah atau cabaran selama-lamanya.

Sedang saya cuti hari Isnin, tiba-tiba Dr Nathan telefon,Azzad, can you come to PLOG today. Me and Haliza will assess you.” Saya sudah agak benda-benda macam ni pasti akan berlaku dalam hidup saya. Namun alhamdulillah saya telah berjaya lulus. Beliau seperti tidak percaya bahawa saya adalah graduan dari Rusia, kerana beliau memandang rendah mereka.
Bersama Dr Helmi(Hosp Seremban) dan Dr Zamir(Hosp Sg Buloh) - teman sebilik,
ketika graduasi dulu.

Walaupun Dr Haliza ‘terkenal’ di Hospital Selayang dan HKL, namun saya rasa beliau tiadalah ‘jahat’ sangat(mentang-mentanglah dah lulus). Sewaktu jamuan di wad Gyne hari tu beliau berkata,I can force you to read, but I cannot force you to learn.” Beliau sempat juga bercerita dengan kami cerita-cerita hantu di HKL. Dia okaylah.

BUKAN DUNIA NYATA

Ada kawan-kawan yang mengusik-usik saya. “Azzad kau janganlah memilih sangat,” sambil menunjuk-nunjuk pelajar perubatan UPM perempuan di hospital. If you don’t approach her, you’ll never get to know her,”seorang lagi berkata. Antara mereka ada yang turut membaca blog saya, dan mungkin disebabkan tulisan saya, suka sangat mengusik-usik bab-bab ni.

Saya kerap mengingatkan diri saya dan pembaca-pembaca blog saya yang saya berketemu, janganlah percaya sangat apa yang ditulis. Pada penghujung hari, kita akhirnya hidup di dunia nyata iaitu dunia sebenar. Saya gusar apabila pelajar perubatan memasuki dunia kerjaya kelak, mereka akan terkejut menghadapi dunia sebenar. Kerana ianya tidaklah seindah di blog saya. Tidak semua perkara dapat saya tulis di sini.

Di dunia nyata terdapat kebenaran jika kita mencarinya.

Begitulah juga dongeng kononnya saya giat mencari-cari pasangan hidup. Itu lebih kepada sekadar gurauan untuk menceriakan hati pembaca(sebenarnya ada betulnya juga).

PANDANG RENDAH

Sewaktu di penempatan Jabatan Pembedahan dulu, ketika saya tagging suatu malam tu, Mr Naresh berkata, What? You don’t know how to spell Fournier’s gangrene? What do they call it in Russia? Vladimir Putin’s gangrene??!!!! Hauhahahakhak.” Begitulah saya diperlekehkan setelah tidak tahu mengeja Fournier dalam BHT. MO dan registrar juga turut bergelak. Begitulah nasib graduan Rusia yang tidak biasa dengan sebutan perubatan barat.

Malu memanglah malu. Tapi bagusnya bila saya hadapi situasi seperti sedemikian, saya rasa seperti ditarik balik ke bumi, jejak kaki di bumi yang nyata. Ia menimbulkan perasaan rendah diri(yang positif)dan perasaan yang kita ini tidak cukup bagus(insecure). Saya suka perasaan itu kerana membuat saya rasa ‘hidup’(alive).

KERETA KECIL

Saya bangga memandu kereta Kancil saya. Dengan kereta Kancil kita boleh letak kereta dengan mudah, curi-curi masuk celah lorong dan sebagainya. Saya gembira.

2 bulan akhir bersama Kancil. Tidak lama
lagi kami akan mengikut haluan masing-masing.

Namun apabila gadis cantik berlalu di hadapan, akan timbul secara semulajadi, rasa segan untuk menuju ke arah kereta kancil saya. HO perempuan pula membawa kereta besar, malah jururawat pun membawa sekurang-kurangnya Perodua Viva atau Myvi. Saya tidak dapat menidakkan perasaan diri tidak cukup bagus.

Saya akan masuk dan duduk dalam kereta. Saya analisa perasaan tersebut. Patutkah saya rasa sedemikian? Kehadiran wanita benar-benar mencabar seorang lelaki. Namun janganlah biarkan ia sehingga menyebabkan kita melakukan sesuatu yang melampaui batas atau kemampuan.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya. (Al-Maaidah 5:100)

DUNIA SENYAP

Disebabkan terlalu bangga sangat lulus penilaian dengan Dr Haliza, Allah telah menimpakan saya dengan penyakit sakit tekak balik. Saya mempunyai allergic rhinitis(resdung). Tetapi kes saya berbeza berbanding orang lain, di mana lelehan turun ke belakang dan ke tekak. Akibatnya iritasi pada tekak menyebabkan saya selalu batuk dan sukar bercakap.

Cari ruang yang sunyi dan lihatlah langit. Apa yang anda nampak?

Jadi terpaksalah saya duduk senyap sikit. Hidup dalam keadaan senyap mengizinkan kita perasan perkara-perkara di sekeliling kita, yang kebiasaannya kita tidak perasan, seperti kelemahan diri sendiri. Kadang-kadang dalam perjalanan pergi kerja pun saya cuba tutup radio bagi senyap. Dengan itu, saya dapat lihat kebenaran.

DUNIA NYATA

Mencari keredhaan.
Di sinilah saya rancang untuk hidup iaitu di dunia nyata. Walaupun saya bukan lelaki baik, tetapi dengan hidup di dunia nyata, saya percaya saya boleh jadi lebih baik. Kerana di situlah terdapat kebenaran, walaupun ianya pahit.

Harap bermanfaat bagi pembaca.



Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Sunday 19 December 2010

ANAK ORANG

Banyak dosa minggu ini, maka saya ambil inisiatif untuk tulis artikel hari ini walaupun post-call.

DATANG DAN PERGI

Kunjungan ke Kedah berhajat. Awan-awan menemani perjalanan kami.
Hampir di setiap jabatan yang saya bekerja, saya datang dengan perasaan benci dan tinggal dengan perasaan sayang. Begitulah juga di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi. Di bulan terakhir ini, saya sudah mula mempersiapkan diri untuk penilaian(assesment) bersama doktor pakar. Pengalaman bekerja di sini boleh dianggap menarik.

Secara amnya, saya dapati skop kes-kes O&G tidaklah terlalu luas. Bermaksud, akhirnya kita akan kerap jumpa penyakit yang sama juga. Yang bagusnya, ini membenarkan kita mengasah dengan lebih mendalam tentang sesuatu penyakit.

MEDICO-LEGAL

Namun saya tidak merancang untuk menyambung belajar atau kerja di Jabatan O&G. Ini kerana ianya melibatkan tekanan yang berat. Ianya lebih kepada isu medico-legal berbanding beban kerja.

Di taklimat pagi, kes-kes tertentu akan dibentang di depan semua doktor, dan saya perasan segala kesilapan/kekurangan ‘mereka yang terlibat’ akan diperhalusi. Ianya bagus dari segi, dapat mengajar doktor-doktor lain akan pelan rawatan atau tindakan yang tepat pada ketika itu. Namun kadang-kadang ianya seperti mempersalahkan individu berbanding usaha mengenalpasti kekurangan, yakni tujuan pembentangan itu dibuat. Itu adalah pendapat peribadi saya.
Berteduh seketika di Jitra bersama Dr Aizat(Hosp Kangar) dan
Dr Asrul(Hosp KL).
NIAT BAIK

“I want to inform you that this conversation is recorded. You can sue me as you want. But please do not call me anymore. I am not your doctor anymore,” saya kedengaran kata-kata seorang doktor pakar pada telefon, ketika kebetulan berlalu. Di dunia moden kini, tidak kisah betapa baik niat kita sebagai doktor untuk membantu pesakit, tetapi ada pesakit yang bersedia untuk ‘membaham’ kita apabila berkesempatan.

Doktor pakar tersebut sangatlah baik orangnya. Ketika sekali buat round, “I would be willing to pay for her operation, for this patient,” kata beliau. Ia berkenaan seorang pesakit mengandung yang mempunyai severe kyphoscoliosis, menyebabkan pesakit mempunyai risiko komplikasi yang tinggi untuk membuat Cesarean section.
Berkumpul bersama Dr Glid sebelum meneruskan hajat. 

Doktor pakar tersebut mengingatkan kami supaya bukan sekadar melihat pesakit dari sudut perubatan semata-mata, namun juga dari sudut sosial. Pesakit tersebut mempunyai sejarah yang menyayat hati yang menyebabkan beliau mendapati kyphoscoliosis. Ditambah lagi, suaminya telah kehilangan kerja baru-baru ini.

Pesakit tersebut ketika itu di bawah jagaan saya pada awalnya. Walaupun sebaik selepas pembedahan beliau diletak di ICU, selepas waktu kerja sekali itu, saya ambil inisiatif untuk melawat beliau di ICU. Apabila kelihatan beliau di-extubated dengan selamat, rasa senang hati. Mengetahui latar sosial pesakit tersebut menyebabkan saya rasa ‘terikat’.

PENEMPATAN O&G

Sistem penempatan pegawai perubatan siswazah(HO) di jabatan ini telah berubah baru-baru ini. Di sini, semua HO dibahagikan kepada 4 pasukan. Dan 4 pasukan ini diletakkan masing-masing di antenatal/postnatal ward, wad bersalin, wad gynekologi dan peripheries selama sebulan, dan ditukar-tukar setiap bulan.
Gambar orang jakun dengan sawah padi.

Di antenatal/postnatal ward, daripada pengalaman saya, dapat jumpa kes seperti
  1. Latent phase of labour
  2. Postnatal(selepas melahirkan anak     
  3. Pregnancy-induced hypertension
  4. Gestational diabetes mellitus
  5. Preeclampsia  
  6. Cervical incompetence
  7. Miscarriage
  8. Postdate(lebih 40 minggu)
  9. Placenta previa
  10. Decreased fetal movement dan sebagainya.

Di wad bersalin adalah tempat paling seronok bekerja. Melahirkan bayi adalah satu proses yang menguji kesabaran, meletihkan teapi menggembirakan. Melihat bayi yang dilahirkan dan mengusik mereka(setelah dimandikan) adalah pengalaman yang menyeronokkan.

Di peripheries, HO dibahagikan ke Patient Assesment Centre(PAC), klinik O&G(antenatal, diabetic, gyne, menopause), Materno-Fetal Medicine Clinic dan Fertility Clinic. PAC adalah seperti Jabatan A&E (O&G) dimana kita adalah barisan pertama yang berdepan pesakit ‘segar’.

Amat menarik on-call di sana. Saya masih ingat ada sekali on-call bersama Dr Ian(HO) di PAC. Pukul 12 malam tiba-tiba pesakit berhenti datang. Kami ambil kesempatan pergi makan dan bersembang.  Selepas habis sembang pun masih tiada pesakit datang, macam tidak percaya. Dr Ian kata pada semua staf, “OKkkaayy, kita tutup kedai yea malam ni.” Kami cepat-cepat pergi curi tidur. Tidak sampai setengah jam, pesakit datang balik. Aduhai.
Rupanya menghadiri majlis walimatul urus Dr Glid hajat kami.
Jumpa kawan lama Dr Lutfi(Hosp Penang) dan Yamim(MRSM Langkawi).
GYNE-ONCO

Di wad gyne, iaitu di mana saya berada sekarang,  kebanyakannya kes seperti:-
  • Menorrhagia secondary to (fibroid, adenomyosis, dysfunctional uterine bleeding, cervical Ca dan sebagainya)
  • Hyperemesis gravidarum
  • Ectopic pregnancy
  • GDM in early pregnancy.

Kebanyakan kes gyne sebenarnya dirawat di klinik.

Namun saya bersama Dr Nirmala dipertanggungjawab menjaga pesakit gyne-oncology, sesuatu yang saya tidak gemar. Secara terus terang saya kurang berminat terhadap oncology(barah) dan juga beban kerja gyne-onco adalah banyak berbanding general gyne. Namun saya ingatkan diri.
“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” Al-Baqarah 2:216

KERUNTUHAN MORAL

Tengah-tengah saya mengelamun ketika round pagi di antenatal ward, “Are you surprised Azzad? Are you seriously surprised” tanya MO saya. Saya terpinga-pinga. Rupanya Dr Sharmila bercakap berkenaan keruntuhan moral masyarakat di Malaysia. Ini rentetan daripada pelbagai kes ‘luar norma masyarakat’ yang berlaku kini. Beliau bertanya berkenaan setelah melihat kes ibu janda beranak dua mengandung anak luar nikah.
Sebelum pulang, kami sempat singgah solat di Masjid Al-Bukhary.
Saya teringat ketika saya on-call seorang di wad antenatal pada suatu malam. Masuklah seorang pesakit gadis muda(pelajar di universiti tempatan) daripada wad medikal. Asalnya datang kerana mengadu kembung dan sakit perut. Kemudiannya didapati beliau sebenarnya mengandung 9 bulan dan berada pada latent phase of labour

Namun yang saya ingat dengan jelas adalah apabila emak ayahnya(sudah tua) datang gegas daripada kampung untuk mengetahui kemudiannya bahawa anak mereka mengandung anak luar nikah. Emaknya hanya mampu menangis sahaja dan tidak mengucapkan sepatah perkataan pun. Saya kagum dengan ayahnya, yang saya sangka akan memarahinya, sebaliknya bercakap baik dengan anaknya. Begitulah kasih sayang mereka.

KESIMPULANNYA

Hari tu terserempak dengan Mr Khairul(Surgical) selepas selesai solat Jumaat. “Kau dah kat mana sekarang?” “Saya dekat O&G sekarang ni. Tolong lahirkan anak orang,”kata saya tersengih-sengih. “Kau jangan buat anak orang sudah,”kata Mr Khairul dengan selamba.
Masih adakah harapan untuk saya di luar sana?

Harap apa yang saya tulis kali ini bermanfaat.
Doakan saya lulus penilaian saya.


Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Tuesday 7 December 2010

MENJADI LELAKI BAIK

LELAKI JAHAT
(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. Surah An Nur 24 : 26

Saya seorang lelaki ‘jahat’ yang berimpikan seorang perempuan yang baik.

MASALAH HIDUP

Langit tidak sentiasa cerah walau hari terang. Begitulah jua
hati seorang doktor.
Ada kala kita akan mengeluh tatkala mengenang masalah hidup kita. Tenung ke langit dan bertanya kenapa kita ditakdirkan menghadapinya. Dan masalahnya bukan sebarang masalah. Iaitu masalah yang tiada penyelesaian yang akan temani kita sampai bila-bila. Mungkinkah hidup ini tidak adil?
Pernah ketika duduk bersama seorang kawan perempuan, saya lepas cakap, kenapalah hidup aku bermasalah walhal orang lain senang saja? “Mana awak tahu orang lain takde masalah?!” “Yelah tu kau ada masalah,” saya perlekehkan. Secara tiba-tiba beliau menangis. Biasalah orang perempuan menangis. Tapi tangisan kali ini mengejutkan saya. Seperti beliau benar-benar pendam sesuatu dalam dirinya.

Peristiwa itu membuatkan saya sedar, setiap orang ada masalah besar dalam hidup masing-masing. Maka, usahlah saya mengeluh. Biarlah langit menemani saya.

MUSUH MANUSIA

Saya tidak tahu kenapa, tetapi ada peristiwa atau perkara tertentu yang saya pernah lalui dalam hidup yang akan melekat pada otak saya. Ada maksud di sebaliknya.

Salah satu cara melepas tekanan kerja atau melepas geram.

Sesi melepas geram diakhiri dengan melahap pizza Domino.

Salah satunya adalah satu dialog dalam filem Mindhunters. Lucas(jahat) cuba menenangkan Gabe(baik) dengan berkata, “All I know is this; you don't confront your demons and defeat them. You confront them, then you confront them, then you confront them some more, every single day.” Ia memberi satu mesej mendalam kepada saya.

Jangan pernah sangka bahawa kita apabila mencapai satu tahap itu, kita akan senantiasa selamat. Musuh abadi manusia tidak pernah luntur semangat untuk menjatuhkan kita. Kita jatuh dan bangun, jatuh, merangkak dan bangun. Kita sudah banyak kali bangun dan jatuh. Tidak tahu mungkin satu hari nanti, saya tidak berkemampuan untuk bangun lagi. Pada satu masa nanti, mungkin Allah tidak pedulikan saya lagi.
Perkahwinan Faizal dan Kamelia mengumpul ramai kawan
MRSM Langkawi dulu.

Dan kadang-kadang kita sendiri tidak tahu apa masalah kita. Secara tidak sedar, kita cuba lari daripadanya. Sesetengah rendamkan diri dalam alunan muzik. Sesetengah sehingga meminum arak. Itulah pintu keluar bagi sesetengah.

IKHTIAR

Ustaz Azizi dalam kuliah Sabtu ada berkata, “Kita perlu berikhtiar dahulu, kemudianlah baru kita bertawakkal.” Ayat-ayat yang selalu kita dengar. Namun setelah lama kita tidak dinasihati, ingatan itu akan luntur. Maka kata-kata itu telah menyedarkan saya tentang kesilapan yang telah dilakukan.

Hantar seorang pesakit ke Hospital Muar. Berkesempatan
jumpa Dr Ruzanna dan Dr Legend.
Bagusnya di sebalik kesusahan housemanship ini(maki hamun, buli, depresi dll) adalah ianya telah menjadikan saya seorang yang lebih tabah. Di dalam berikhtiar akan pasti ada halangannya. Bak kata orang putih, “Like butterfly in your stomach”, adalah perasaan yang kerap dirasai. Saya tidak takut.

LELAKI BAIK

Mungkin satu hari nanti, di penghujung subuh, di saat terbitnya matahari, ketenangan akan kembali dalam diri. Iaitu apabila kita telah menjadi seorang lelaki yang baik. Dan di saat itu, bersebelahan kita ditemani seorang perempuan yang baik.


Pertemuan lelaki baik dan perempuan baik
menghasilkan anak-anak yang baik.
Sejak akhir-akhir ini, terlalu banyak saya sentuh tentang emosi. Saya perlu berhenti berbunyi seperti seorang perempuan. Sini bukan sebuah diari. Sini adalah wadah perjuangan. InsyaAllah akan bercerita tentang perkara yang lebih serius dan relevan dalam artikel seterusnya. Dan sekali-sekala meluahkan  perasaan. Haaihhh.

Salam daripada seorang hamba Allah.

P.S. :Kepada semua perempuan di luar sana, saya tiadalah ‘jahat’sangat. Huhu.


Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Sunday 28 November 2010

MENGHADAPI CABARAN HIDUP

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" Surah Ankabut 29:2
Lumrah kehidupan manusia, pastinya kita akan menghadapi tekanan, cabaran dan ujian dari semasa ke semasa. Dan saya perasan, setiapnya akan mencetus permainan emosi di dalam diri saya. Dan juga saya percaya bahawa sebenarnya tiada halangan untuk kita mencapai kejayaan, bukan kemiskinan, kesusahan, kesempitan masa dan sbgnya, melainkan emosi diri.

PWTC tanda mercu UMNO dari balkoni rumah saya. Dan tidak
lupa langit biru di belakang.

Jika kita dapat mendisiplinkan diri dan mengatasi emosi, maka dunia adalah ‘milik’ kita. Tiada rasa malas, tiada rasa takut bertanya, tidak mudah puas hati, tidak pula tamak, tidak mudah putus asa dan sbgnya.

BENCI

Pada suatu pagi di wad bersalin, saya, setelah diberitahu oleh kawan, telah silap membaca CTG(cardiotocography) seorang pesakit. Pesakit tersebut telah dihantar ke bilik pembedahan untuk Cesarean section atas indikasi fetal distress(bayi lemas).

Saya terkejut dan atas dasar bertanggungjawab, pergi ke sana untuk membantu MO membuat pembedahan. Tiba di OT, seorang HO lain sudah bersedia untuk assist dan diberitahu MO X akan membuat pembedahan. Saya benci MO X. MO X suka marah HO sesuka hati dia mengikut angin.

“Azzad, kau nak assist tidak? Aku tidak kisah kalau kau taknak?” tanya kawan saya.  Saya berdiri pegun di situ hampir seminit. Dalam fikiran saya, “Sekarang ni, aku memang nak assist pembedahan pesakit aku. Tapi aku takut sebab MO X yang akan buat.” Saya beritahu diri saya, “Aku boleh lari dan biarkan kawan yang bantu. Tapi aku tidak akan boleh lari selama-lamanya. Atau aku boleh hadapinya dan juga menjadi doktor yang bertanggungjawab terhadap pesakit.”

Inilah rupa muka HO Dr Nirmala dan Dr Zamri ketika melihat jadual oncall.
Kadang-kadang tu boleh termenung sampai 5 minit lamanya.

Saya buat keputusan untuk scrub in. Bayi keluar menangis, dengan Apgar score yang baik. Cord blood pH 7.309. Bagi saya pH sedemikian terlalu bagus untuk fetal distress, meyakinkan saya bahawa saya tidak salah baca CTG pesakit tersebut.

Keesokan harinya, saya bertugas untuk Pembedahan Elektif. Rupanya MO X jugalah yang menjadi doktor bedah hari itu. Memang benarlah, kita tidak akan dapat lari daripada perkara yang kita benci selama-lamanya.

ANGKUH

“Youuuu, you are arrogant. I gave you a chance. I thought you’d change!!”, Dr Nathan jerit pada saya ketika round pagi di LR secara tiba-tiba. Saya terkejut. Kawan-kawan lain juga terpinga-pinga. Kenapa dia berkata sedemikian, tidak perlulah saya cerita.

Walaupun kadang-kadang apa yang orang kata tentang kita tidak betul, adalah baik untuk kita selidik kata-kata tersebut. Mungkin ada kebenarannya walaupun kecil. Mungkinkah ada keangkuhan dalam diri saya?

Rupa wad bersalin di HKL.

Sangat berbeza kalau hendak dibandingkan dengan bilik
bersalin di Rusia.

Maka saya ingatkan diri supaya sentiasa berkeyakinan dan pada masa yang sama rendah diri. Saya paksakan diri supaya mengajar dan memberi dorongan pada 1st poster lain. Ingatkan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang saya ada, hanyalah pinjaman.

KECEWA

Pada suatu malam sewaktu 2 pagi, ketika saya on call, berlaku satu perkara yang menjadi pengalaman penting bagi saya. Seorang pesakit dengan Placenta Previa berdarah dengan teruk, tidak berhenti. Kalau dalam buku ada menggunakan istilah ‘berdarah seperti  air paip(tap water)’, maka inilah contohnya. Darah keluar dari faraj pesakit memancut.

Pada saat itu, saya perlu berada pada tahap terbaik. Namun mengecewakan, di saat genting saya tidak dapat memasang branula dan tidak dapat mengambil darah dengan secukupnya. Sehinggakan MO saya yang terpaksa melakukannya. Di OT juga, saya teragak-agak memasang CBD(continuous bladder drainage) pada pesakit(almaklumlah pesakit perempuan).

Saya benar-benar kecewa dengan diri saya. Mungkinkah saya telah hilang kebolehan di Jabatan Kecemasan dulu? Kekecewaan adalah lumrah. Saya tanamkan dalam minda saya supaya jangan terlalu mengimbau apa yang berlaku, sebaliknya jadikannya sebagai pembakar semangat supaya memberikan yang terbaik pada masa hadapan.

Bersembang dengan orang yang berlainan latar belakang membuka
minda kita. En Azman yang pernah teruk terkena tempias Krisis Ekonomi Asia '97
dan Omair pelajar MBA di UM dari Pakistan.

Maka berlakulah satu lagi kecemasan obstetrik(obstretric emergency) minggu lepas. Seorang pesakit mengalami PPH(post partum hemorrhage) secondary to uterine atony di wad. Saya hadir dan urus pesakit. Saya arah jururawat buat ini dan itu, saya buang darah beku, buat fundal massage dan pasang branulla cepat, masukkan larutan crystalloid dan oxytoxin. Apabila MO saya tiba, beliau arah benda yang sama. Saya dan jururawat kata semua kami dah buat. Yeeaaa yeeaaa!!

Walaupun postcall ketika itu, saya balik dengan hati gembira.

TEKANAN

Saya ada berjumpa dengan ramai pembaca blog saya di tempat kerja. Ada yang kata, “Your blog inspired me.” “Inspired youuu??!!!” saya balas. Ada ketika saya hanya lalu lalang, tiba-tiba, dari jauh seorang HO tanya, “Eh kau ada tulis blog heh?” Saya senyum dan angguk. Dia angkat tangan dan tunjuk ibu jari ke atas.

Bayi ini mengingatkan saya pada patung matriushka di Rusia.

Waahh rasa seronok juga orang kenal kita rupanya. Tetapi tiba-tiba saya berasa canggung pula ketika kerja. Tiba-tiba tekanan menimpa diri. Yelah, di blog cerita saya intubate-lah, rawat pesakit MI, buat CPR dan sebagainya, kononnya macam hebat. Tulis macam bagus sangat saya ni. Manalah saya hendak tahu akhirnya pembaca blog saya akan bekerja dengan saya.

Mulalah rasa cuak bila bentang kes pada MO dan doktor pakar, pasang branulla, jawap soalan MO dan sebagainya. Malunya kalau tidak tahu atau branulla tak masuk. Tulah berlagak lagi. Namun saya berazam untuk menjadikan tekanan ini sebagai sesuatu yang positif, agar memaksa saya untuk bekerja keras lagi.

Bayi ini mahu menjadi angkasawan bila besar nanti.
Namun program angkasawan negara diberhentikan kerana
ianya membazirkan wang rakyat.
Disebabkan itu jugalah, saya cuba sejak akhir-akhir ini menunjukkan kekurangan dalam diri sebagai doktor dalam artikel-artikel saya. Sedikit sebanyak mengurangkan jangkaan orang terhadap saya. Supaya gadis-gadis di luar sana tidak terlalu kagum dengan saya. Hahaha. Dan juga, kerana itulah dunia realiti, tiada sesiapa yang sempurna.

DILEMA

Buku yang saya sedang baca kini, berkisar tentang
perspektif kehidupan dari sudut humanisma barat.
Dan sekarang saya ada tekanan baru. Sedang saya mengisi laporan pembedahan ke dalam komputer, tiba-tiba terdengar, “So Azzad, I heard you have a blog?” Dr Janani MO bertanya. “So you have a lot of free time to write a blog hah?” “OOhhh maannn.”


Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Wednesday 10 November 2010

HIDUP DOKTOR BAGAIKAN RODA

Salam

KATA ORANG

Kata orang hidup bagaikan roda. Memang ada benarnya. Begitu juga hidup sebagai doktor.

Seminggu lepas, semasa ward round, Dr Haliza MO O&G berkata kepada semua HO, "You all should be like Azzad. Be as hardworking as he is." "Woooww," kata kawan sambil melirik mata pada saya. Saya juga sambut dengan, "Wooowww." Dr Haliza sengih-sengih.

Satu, bukan selalu saya dapat pujian. Dan pujian kali ini bukan seperti biasa. Ia membuat saya merenung betapa jauh saya telah jangkau sebagai HO. Mengingatkan saya bahawa segala kesusahan yang saya hadapi sebelum ni ada kesan positifnya.

Kali pertama hantar pesakit ke hospital lain, yakni Hospital Ipoh.
Selalunya hospital lain hantar ke HKL.

Rupanya Ipoh ni tiadalah jauh sangat dari KL.
2 jam saja.
Sempat jumpa kawan lama Dr Muhanna(Hosp Ipoh).
Muhanna belanja kami semua makan
di Restoran Nasi Kandar Vanggey.

Namun saya tahu perasaan ini tidak akan tahan lama, kerana hidup doktor bagaikan roda.

Baru saja beberapa minggu lepas, saya telah dicaci, dimaki hamun dan dicerca oleh MO saya sewaktu bertugas di klinik. Hanya disebabkan kesalahan kecil, saya telah dimalukan, didakwa lebih lemah daripada HO first poster di depan pesakit saya, MO dan HO lain.

Jujur saya kata, tidak pernah saya rasa begitu teruk dan malu. Saya kawal diri saya, selesaikan urusan pesakit dan kemudian bawa diri ke bilik air. Saya post call hari tu, letih dan dilayan sedemikian rupa.

SHRINK

Hari Ahad, jika saya tidak bekerja atas panggilan, selalunya saya akan beli suratkhabar New Straits Times. Dalam sisipan Life and Times, ada satu ruang karangan Tessie Lim yang sedikit sebanyak membantu saya menghadapi kehidupan sebagai HO.

Dalam salah satu artikelnya, beliau mendeskripsikan sesetengah ketua (MO atau doktor pakar) dengan tepat. Yakni mereka yang memilih cara memaki hamun untuk memperbetulkan kesalahan orang lain adalah mereka yang tidak mempunyai keyakinan diri(insecurity). Mereka tidak mampu membawa diri sebagai contoh kepada yang lain.

Kuasa jahat bertemu kuasa baik.
Dan masalahnya pada kita yang berada di keliling orang berkenaan, yang juga pihak authoritatif terhadap kita, adalah kita membenarkan segala kenyataan yang keluar dari mulut mereka, mendefinisikan siapa diri kita. Walhal sepatutnya, kitalah yang menentukan siapa diri kita. Jika anda mengamalkan ‘petua’ ini, anda tidak akan takut pada mereka lagi. Hehe.

EMOSI DOKTOR

Emosi doktor bukan sekadar berkisar pekerjaan. Doktor juga manusia.

Sewaktu datang ke rumah Dr Izat di Kajang ketika pertunangan beliau, tiba-tiba saya dan Dr Khalid diserbu makcik-makcik beliau. Ingin bertanyakan adakah tuan badan sudah berpunya? Haha.

Setelah dilontar pelbagai soalan, di penghujungnya saya mengeluh, “Yang kita nak, taknak pada kita. Yang kita taknak, nak dekat kita.” Nenek Izat cuba memujuk, “Takpelah, itu ketentuan qada dan qadar.”

Dr Aizudeen(tengah). Air yang tenang,
jangan sangka tiada buaya.
Dr Judin dan tunangnya.
Begitu juga apabila Dr Aizudeen(HUKM) tiba-tiba mengirim SMS mengatakan beliau akan bertunang. Angin tidak bertiup, hujan tidak turun, tiba-tiba senang-senang saja Judin sudah hendak bertunang.

Walaupun gembira melihat rakan-rakan memasuki fasa seterusnya dalam hidup, namun ianya menyebabkan saya memikir apalah yang hendak jadi dengan saya ni. Tiada progres langsung.

ADUAN

Bertambah buruk lagi, Saya telah terima dua aduan dalam masa dua minggu ini. Satu daripada jururawat dan satu daripada seorang pesakit.

Pesakit mengadu layanan yang kurang baik oleh saya terhadap beliau. Akhirnya saya secara sukarela menelefon pesakit dan meminta maaf. Beliau turut meminta maaf kerana rasakan mungkin ketika itu beliau sedikit emosional dan memahami keadaan saya yang kurang tidur pada awal pagi.


Melihat bayi sedikit sebanyak menghilangkan tekanan kerja.
Harap saya dapat perbaiki diri.

Benarlah, hidup doktor bagaikan roda. Dan kini saya sedang berada di bawah. 
Harap ada bidadari yang sudi selamatkan saya.

Salam


Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Wednesday 27 October 2010

DOKTOR BERUBAH

Salam

Dalam Facebook, saya banyak baca status junior-junior VolSMU yang baru mula bekerja bulan lepas. Ramai mengadu tentang layanan MO dan doktor pakar, tekanan kerja, benci on call dan sebagainya. Ada juga yang ‘cuba’ berfikiran positif menghadapi alam baru bekerja.

Bergambar di depan sebuah masjid di Volgograd, Rusia.
Walaupun sekarang saya sudah jadi HO penempatan ke-4, pre-call syndrome(benci hidup, berdebar-debar, tekanan emosi) tetap ada tetapi tidaklah seperti dulu. Harap junior-junior Volgograd semua boleh bertahan. Volgograd vperiooddd!! Uuurraahhh!!

SAYA DULU

Dulu awal- awal kerja, saya bukan seorang doktor yang cukup baik terhadap pesakit. Itu saya akui. Sesekali saya benarkan tekanan mental dan emosi mempengaruhi diri saya.

Yelah, awal dulu, terpaksa belajar banyak benda baru. Terkejar-kejar kerana lambat buat kerja. Tak termampu hendak menghafal kes walaupun sudah baca banyak kali. Pasang branula tak dapat-dapat. Tertekan bila melihat HO senior lain nampak senang saja buat kerja.

Akibatnya, kadang-kadang saya bercakap kasar dengan pesakit dan ahli keluarganya. Memperlekehkan aduan mereka. Marah pun ada tapi jarang. Itulah kesan tekanan kepada saya.

Balik kerja, lihat pada langit memberi nafas kekuatan untuk
bermuhasabah diri.
HALANGAN

Keadaan juga tidak membantu, di mana di hospital kita akan jumpa berbagai ragam pesakit dan ahli keluarganya.

Ada yang memang bersikap dan bercakap kasar. Ada sekali, ahli keluarga diminta keluar kerana doktor mahu tengok pesakit. Anaknya berkata, “Apsal?! Nak buat ujikaji ker?!” dengan nada tidak puas hati. Kami semua terpinga-pinga.

“If something happens to my daughter, are you going to be responsible??!!” ugut seorang ibu kepada saya setelah meredah masuk bilik di Zon Hijau kerana lama menunggu. Anak beliau telah gugurkan kandungan tanpa pengetahuan ibunya.

“Saya bekerja di Kementerian Kesihatan, siapa nama doktor??!!”  kata anak kepada seorang pesakit setelah saya tidak benarkan beliau memotong giliran. Saya angkat kad nama saya, tunjuk depan muka dia dan kata, “Nama saya Dr Azzad!!” tanpa rasa takut.

Keluar bilik hendak pergi makan tengahari, terperasan ada
 asap tebal.
Rupanya ada bengkel kereta yang terbakar.

KECEWA/PELIK

Saya juga kecewa melihat pesakit yang tidak mahu menolong diri sendiri. Akhirnya menyusahkan ahli keluarganya dan juga doktor. Telah diberi ubat, tidak mahu makan. Ubat sudah habis, bukannya hendak pergi ambil baru. Bila sudah sakit teruk barulah hendak datang.

Semasa ulcer masih kecil lagi, malas mahu datang ke hospital jumpa doktor. Bila kaki sudah gangrene nak kena potong, kata hendak pergi merawat dengan bomoh pula. Kaki sudah dipotong, masih mahu merokok lagi.

Bila batuk berdarah, pergi jumpa bomoh rawat santau. Bila sudah teruk sangat, datang jumpa doktor, tengok-tengok separuh paru-paru dah kena jangkitan Tuberculosis(batuk kering).

Pelik sungguh.

LINTASAN PARADIGMA

Sewaktu makan di restoran sekali tu, saya begitu marah dengan pelayannya yang kerja lambat, bersikap tidak sopan dan tidak menghormati saya sebagai pelanggan. Setelah sampai di bilik, perasaan marah masih membuak-buak dalam hati.

Salah satu kedai saya kerap langgan. Bihun
sup utaranya sedap. Tapi selepas banyak kali makan,
jadi dah tidak sedap pula.

Di silingnya, terdapat gambar orang tua. Saya tanya tu gambar siapa?
Tuk Kenali tuan kedai kata. Balik bilik, saya baca serba sedikit tentang
Tuk Kenali di Wikipedia.

Tiba-tiba ketika menggigit bantal, Allah telah lintaskan dalam fikiran saya sesuatu perkara. Bagaimana pula saya sebagai doktor? Adakah saya telah memberi layanan yang terbaik kepada pesakit saya?

Senang untuk saya mengadu tentang kerja orang lain. Tetapi apabila saya berada pada kedudukan yang memberi perkhidmatan, adakah saya menunjukkan kualiti yang baik?


PROGRAM TRANSFORMASI KERAJAAN

Apabila membaca secara ringkas Program Transformasi Kerajaan yang dicetuskan Perdana Menteri Dato’Seri Najib, saya agak teruja. Antara prinsip utama seperti penekanan terhadap kualiti kerja berintegriti, dan kenaikan pangkat atau jawatan berdasarkan kebolehan dan bukan senioriti adalah amat disokong.

Sektor perkhidmatan awam di Malaysia amat memerlukan suatu budaya kerja yang baru. Kita perlu mengikiskan imej tidak efisyen, birokratik dan kualiti perkhidmatan yang rendah.

Jadi saya berikhtiar untuk menjadi proaktif dan mula meningkatkan kualiti kerja saya sebagai doktor seiring dengan Program Transformasi Kerajaan.

BERUBAH

Jadi sejak bulan terakhir saya di A&E hingga ke penempatan di O&G sekarang, saya berazam cuba berikan khidmat terbaik sewaktu merawat pesakit. Nampak macam poyo-kan, tapi betul.

Saya cuba perbaiki kemahiran komunikasi saya dengan pesakit. Walau seletih tertekan mana pun, apatah lagi ketika waktu 3 pagi, saya cuba bercakap dengan baik dengan pesakit, menghormati mereka, beri perhatian pada setiap aduan dan pada masa yang sama efisyen dan cekap. Nampak macam senang, tapi sebenarnya susah(dalam hati, geram sangat dengan pesakit).

Saya akan akhiri perbualan dengan pesakit, dengan bertanya, “Puan ada apa-apa soalan?” Saya juga pastikan pesakit dimaklumkan tentang diagnosis mereka, kenapa saya berfikir sedemikian dan apa perancangan doktor terhadap pesakit. Ini adalah perkara yang sering dilupai oleh para doktor terutamanya Hospital Ampang dan HUKM. Ini berdasarkan pengalaman saya yang banyak menerima pesakit yang ‘lari’ke HKL dari sana, kerana tidak puas hati dengan rawatan diterima.

Ada ketikanya, saya akui saya ‘hilang kawalan’ juga. Tapi kita kena cekal dalam mengubah diri.

HASILNYA

Di Dubai Desert Safari. Rindu kehidupan lama.
Dan satu perkara yang saya perasan, apabila saya memberi khidmat terbaik, di penghujungnya, saya merasai satu kepuasan dalam bekerja. Mana datangnya, tidak tahulah. Rasa seperti kita telah menyumbangkan sesuatu yang bermakna dalam kehidupan pesakit.

InsyaAllah saya akan terus cuba mengubah diri supaya menjadi seorang doktor yang lebih baik. Itu sahaja buat kali ini. Harap bermanfaat.

Kebelakangan ini, saya kurang berkesempatan untuk menulis kerana buat banyak on-call dan stayback. Jadi saya mengalu-alukan HO baru atau lama yang berminat berkongsi pengalaman anda di blog ini, supaya hubungi saya melalui emel atau Facebook. 

Salam


Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.