Tuesday 31 May 2011

LARIAN DAN HALANGAN TERAKHIR

Salam,

PENGHUJUNG GARISAN

Akhirnya, sekarang saya sedang berada di 100m terakhir. Dan sedang membuat pecutan terakhir. Itulah perasaannya berada di penempatan terakhir Latihan Siswazah. Dalam masa 4 bulan lagi, saya akan menjadi MO. Kelak saya akan peroleh Sijil Pendaftaran Perubatan Penuh yang akan mengizinkan saya mengamal perubatan tanpa perlu pengawasan lagi.

Itu adalah suatu pencapaian yang besar untuk setiap doktor!

Nasi Ayam Azzad. Lima bintang.

Spaghetti Goreng Ala Azzad. Rasa tidak sesedap
rupanya.
PATAH TULANG

Pandangan pertama saya berada di Wad Ortopedik adalah, lapangnya wad berbanding Wad Perubatan yang sentiasa sesak dan masih ditambah lagi pesakit. Setelah bertanya beberapa rakan lain yang telah tamat kerja di Ortopedik, saya telah pilih Wad 5 sebagai destinasi saya terakhir. Dikatakan kerjasama antara doktor dan jururawat di situ adalah terbaik. Agak benar.

Di setiap wad terdapat lebih kurang 30 orang pesakit, dijaga 3-4 orang HO. Saya ambil masa lebih kurang seminggulah untuk menyesuaikan diri. Saya perlu banyak lagi baca memandangkan tidak ingat sangat ilmu Orthopedik sewaktu belajar dulu.

Belajar buat backslab dengan abang MA.

Tekun memasang backslab untuk pesakit yang
mengalami bimalleolar fracture post screw fix.

PASUKAN

Di Orthopedik HKL, doktor-doktor pakar dibahagikan mengikut pasukan sub-kepakaran seperti Spine team, Sports team, Tumor team, Peadiatric team, Hand team dan sebagainya. Yang menjadikan wad kelam kabut adalah disebabkan apabila 2-3 team boleh datang buat round serentak. Tetapi setakat ni tiada masalah pun. Doktor-doktor pakar dan MO semuanya profesional.

PEADS ORTHO

Namun ingat langit cerah sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Akhirnya saya telah dibuli untuk dihantar ke wad Orthopedik kanak-kanak. Ada HO di sana yang ingin berkahwin tidak lama lagi, jadi terpaksalah saya dengan berat hati merelakan diri pergi ke sana menggantikannya. Saya pun nak kahwin jugak!

Sedang saya tengah kerja di wad, tiba-tiba dapat panggilan daripada Dr Aizudeen(HUKM) yang akan kahwin tidak lama lagi. “Azzad, aku nak mintak tolonglah.” Saya terus tergelak,”Ahhah aku takleh Din, aku takleh. Hahaha. Aku malu Din.” Saya terpaksa menolak pelawaan sahabat belajar sekali di Volgo dulu untuk menjadi pengapitnya.

Bachelor party Dr Aizudeen(tengah).
Bila berjumpa, banyak cerita keluar.
Bersama Dr Khalid, Dr Helmi dan Dr Najmi.
Judin kelihatan berat hati meninggalkan Kelab Single and Happy.
Semoga berjaya menempuh alam perkahwinan Din.
Saya perlu berhenti cakap berkenaan berkahwinlah.

 PANDANG BELAKANG

“Gelisah tak bermaya. Manipulasi angkara kita. Dan bencana yang melanda. Generasiku menjadi mangsa...." Dunia Bunkface
Saat sedang berlari, sewaktu menghampiri garisan penamat, saya tidak boleh menahan diri daripada menoleh ke belakang. Ada banyak perkara tidak betul berlaku. Saya samada boleh tinggalkannya dan terus berlari, atau buat sesuatu.

Alhamdulillah, satu petisyen yang kami HO telah lakukan, ditandatangani 29 HO telah menunjukkan kesan yang positif. Bermula di dalam suasana yang takut, kami beranikan diri untuk bersuara. Sekalung terima kasih dan tahniah kepada Pengarah HKL, Dato’ Zaininah dan Timbalannya Dr Lailanoor, Dato Jeyaindran Ketua Jabatan Perubatan dan Dr Ngau Pakar Perunding Perubatan atas maklumbalas yang kami tidak sangka.

Terima kasih langit kerana sudi menemani saya selama ini.
Terima kasih sekali lagi pada Dr Lailanoor atas kesudian mendengar luahan fikiran dan hati saya dengan fikiran yang terbuka. Saya perasan saya mungkin telah menaikkan nada suara apabila dapati semua orang memandang saya setelah keluar dari pejabatnya.


BUKAN KATA AKHIR

Saya kata pada Dr Lailanoor, “It won’t end here.”

Pada mulanya, rasa susah hati bagaimana untuk mengumpulkan individu-individu untuk melakukan sesuatu. Allah swt mungkin ada perancangan-Nya sendiri tanpa kita sedari.

Perjumpaan bersama kali ke-2, dari kiri Dr Kenny, saya, Dr Lailanoor (TP1) dan Dr Ding (TP2).
Cuba memenangi sokongan mereka dalam perjuangan kami.

Apabila berkongsi buah fikiran dengan kenalan-kenalan, kami ramai berkongsi sentimen dan idea yang sama. Apabila diajak untuk memperjuangkannya, dengan ringkas mereka menjawap, “Okay.” Tidak sangka, urusan kita dipermudahkan. Perjuangan diteruskan.

MINYAK

Pada hari terakhir di Wad 5, seorang pesakit yang juga merupakan pengusaha ubatan tradisional telah memberi saya sebotol minyak namanya ‘Minyak Sakti Kuda Putih’ untuk sakit sendi. Kemudiannya dihulurkan pada saya ‘Minyak Syurga Dunia’. Wooowww. Tapi saya tolak yang lagi satu tu dengan baik.

Barang baik.
“Alah, doktor cubalah. Doktor cubalah,” kata pesakit tersebut. Hendak saja saya jerit, “Saya tak kahwin lagilah pakcik.”

Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Sunday 15 May 2011

RAKAN DAN TEMAN SEPERJUANGAN

Salam,

SANGKA SENTIASA BETUL

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan". Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak." Surah Al-Kahfi, 18:103-105.

Jika saya tersalah langkah, semoga Allah swt menarik saya kembali ke jalan yang lurus.

CUTI
“Lain kali, tunggu habis housemanship baru pergi bercuti.” Dr Rabiha MO ED kata di FB
Cuti penempatan kali ini, saya tiada pergi ke mana-mana memandangkan kemurungan selepas percutian yang saya alami sebelum ini. Selain program motivasi kanak-kanak hari lepas, saya juga telah berusaha menghias bilik saya sendiri. Maka pergilah saya bersama Dr Khalid ke IKEA membeli perabot.

Banyak barang dibeli.
Dengan Bawang Merah, barang dibeli dapat dibawa pulang dengan mudah.
Tempat duduk belakang boleh diturunkan dan bersambung dengan bonet belakang.

Oh tidak lupa jua, menonton kemenangan Man United ke atas Chelsea. Dan baru sebentar tadi kemenangan EPL ke-19 bagi Man United, secara rasminya kelab terunggul di England. Saya mahu kongsi lawak PM kita berkenaan Liverpool di Hot.fm.



GUNTING RAMBUT

“Nanti kalau nak kahwin, cari isteri yang lawa, bukan yang suka melawa.” Kak Febi

Saya kerap gunting rambut di sebuah saloon di Kampung Baru. Kak Febi pengguntingnya seorang yang suka berfalsafah tentang kehidupan. Menarik mendengar dia bercerita.

Sedang bercerita, saya terkejut dengan caj khidmat rawatan tertentu di saloon tersebut yang para wanita sanggup bayar. Kak Febi kata dia tidak pernah meminta-minta pada suaminya dan menasihatkan saya jangan mencari isteri yang suka melawa kerana mereka selalunya suka meminta-minta.

Masak mi sup utara untuk kali pertama.
Baru rupanya mi hun tu direndam dengan kunyit.
Ingatkan ada mi khas.
Bila minda sudah bercuti, rajinlah kita untuk memasak setelah
lama tidak.

Dia juga pecahkan rahsia gelagat wanita-wanita dari sebuah negeri di Malaysia ni. Pada pengalamannya bekerja dengan pelanggan, dia dapati mereka kebanyakannya tidak segan silu bercerita tentang bilangan teman lelaki mereka dan cinta mereka pada harta. (Disenarai hitam!)

Kata Kak Febi, “Bila anak akak dah tamat sekolah, akak nak kahwinkan dengan adik(saya).” Saya hanya mampu bergelak sahaja.

BELAJAR DARIPADA PENGALAMAN

“Looking back, actually I enjoyed my work, doing what I do. But I let them get to me.” Mr Raja Badrul, pakar bedah kolo-rektal. Pernah berhenti jadi doktor dan berniaga selama 2 tahun.
Selain ilmu perubatan yang saya telah pelajari sewaktu penempatan di Jabatan Perubatan Am, di sebalik kesibukan bekerja, ada perkara lain yang saya dapati. Bagaimana teruk dan biadap orang sekeliling kita melayan kita, jangan kita biarkan ianya pengaruhi kita, malah layanan kita terhadap orang itu balik. Ini bukanlah satu perkara yang senang.  Saya rasa itulah yang cuba dikatakan oleh Mr Bad.

Majalah maskulin edisi Mei.

Ada ketikanya kita rasa sesuatu kerja itu adalah mustahil untuk dilaksanakan dan disiapkan. Tetapi apabila kita laluinya dan lepasinya, apabila dilihat balik, ianya boleh dilakukan. Yang menjadikannya mustahil sebelumnya adalah minda kita.

SENGSARA HIDUP

Hidup ini sudah cukup sengsara. Jika kita ingin berjuang, maka ianya akan lebih sengsara.

Bila orang buang sampah ke longkang, saya tegur. Bila kanak-kanak bermain di masjid, saya kadang-kadang tegur. Bila remaja bersama geng-gengnya merokok, saya rasa tiada kekuatan untuk menegur.

“Di manakah belia lelaki yang berkualiti??!!!” kata seorang perbicara wanita di sebuah rancangan Astro Awani dengan lantang.
Hidup tidak lagi sengsara setelah memiliki iPad2.
Seronoknya buang masa beratur.
Ada satu perkara yang saya dan kawan saya ingin perjuangkan kini. Diharapkan Allah swt gerakkan kami untuk bertindak dan kurniakan kami semangat berani dan keazaman dalam melaksanakannya. Saya selalu mendoakan supaya dikurniakan rakan seperjuangan dalam hidup saya.

Jika jadi insyaAllah saya akan kongsikan.

TEMAN HIDUP

Saya juga selalu mendoakan supaya mendapat isteri yang solehah sebagai teman setia dan sebagai sumber ketenangan dalam perjuangan hidup.

Sewaktu saya mahu masuk ke saloon Kak Febi, ada 2 wanita bersolek di dalam. Saya pun tunggu di luar dan kemudian ke sofa menunggu. Setelah mereka pergi, saya bertanya, “Diorang tu berhias nak pergi mana?” “Pergi balik pejabatlah,” jawap Kak Febi ringkas. Saya kata, “Tapi sekarang dah nak pukul 5, dah nak balik kerja dah! Takkan bersolek lagi” Kak Febi cuba tenangkan saya, “Biasalah orang perempuan.”


Konsep rekaan saya adalah
lapang, ringkas dan selesa.
 


“Lagipun untuk suamilah,” tiba-tiba tambah Kak Febi. Dia jelaskan mereka pelanggan tetap di situ. Kedua-duanya sudah berkahwin. Ada yang sudah beranak. “Bertuahnya,” kata saya dalam hati.

Bilalah ada orang nak datang meminang saya ni? MUAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAAAAAA.


Puntung rokok. Kesian Bawang Merah diperlakukan sedemikian rupa.
"Ah nak datang meminang?! Cik asal negeri mana yer?!!"...............

Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Wednesday 11 May 2011

ANAK MUDA BANGKITLAH!

 Salam,

Alhamdulillah, saya telah berjaya tamat penempatan di Jabatan Perubatan Am baru-baru ini. Sewaktu seminggu cuti ini, saya telah ambil kesempatan untuk mengadakan siri ke-3 program Di Bawah Langit, Di Atas Bumi. 

Kami(saya dan para kaunselor) berasa puas hati pada penghujung program kerana mendapat sambutan yang hebat di kalangan kanak-kanak. Belum pun kami sempat mengajak, mereka sudah mula berkerumun di sekeliling kami. Juga kerana program kami semakin hari semakin bertambah baik dan kami dapat rasakan ianya memberi kesan kepada peserta-peserta. 

OBJEKTIF : Menanam perasaan cinta terhadap membaca dan ilmu.
MESEJ : Orang berilmu adalah orang yang hebat!

PROSEDUR :
  1. 10 peserta diajak menyertai permainan mencari harta karun.
  2. 10 peserta dibahagi kepada 2 kumpulan iaitu katak dan kuda.
  3. Setiap kumpulan akan diberikan kertas yang mengandungi bayangan tempat harta karun. Keseluruhan 5 harta karun perlu dijumpai oleh setiap kumpulan.
  4. Setiap harta karun terdiri daripada petunjuk harta karun seterusnya, gula-gula dan segulung kertas yang mengandungi ilmu baru.
  5. Setelah semua harta karun dijumpai, peserta dikumpulkan pada suatu tempat.
  6. Setiap peserta membuka gulungan kertas masing-masing yang mengandungi pelbagai ilmu baru. Yakni ilmu seperti apa itu awan dan bagaimana hujan turun, apa itu matahari dan dimana ia terbit dan terbenam, kenapa daun hijau dan apa fungsi daun; dan sebagainya.
  7. Fasilitator akan bertanya soalan-soalan berkenaan kepada semua.
  8. Peserta yang memiliki gulungan kertas berkenaan digalakkan untuk bangun dan menceritakan ilmu yang mereka miliki daripada kertas berkenaan.
  9. Pujian diberikan kepada peserta kerana mengetahui tentang persoalan yang diberi.
Anak-anak berebut untuk sertai. Tempat terhad!!

Pening kepala hendak mengawal mereka.

Para fasilitator berkumpul untuk diingatkan kembali tujuan
program ini dilaksanakan.

Menumpukan perhatian.

Cik Arni menjelaskan peraturan permainan pencarian harta karun.

Membaca kata bayangan pertama.

Para peserta bertaburan di persekitaran taman mencari di mana
harata karun disorok.

Hakim(baju saya sayang mak saya) adalah peserta paling nakal.

Kumpulan kuda bersantai atas tikar setelah menjadi kumpulan
pertama yang menjuumpai kelima-lima harta karun.

Sesi membuka harta karun. 
Sesi perbincangan di mana para peserta ditanya soalan.
Semuanya bersemangat menjawap berdasarkan ilmu yang terdapat
di dalam harta karun mereka.

PERBINCANGAN : Peserta diajak mengingat balik keseronokan mereka mencari ilmu(harta karun) dan dikaitkan dengan membaca buku. Peserta dipuji akan kehebatan mereka menjawap soalan yang diajukan walhal peserta lain tidak tahupun jawapannya. Ini disebabkan peserta tersebut telah memperoleh ilmu daripada membaca. Orang berilmu adalah orang yang hebat.




Diharap program kami memberi inspirasi untuk anda menyumbang sesuatu kepada masyarakat di luar bidang kerja atau pengajian anda.

Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.