Thursday, 15 July 2010

LEBIH DARIPADA SEKADAR DOKTOR

Salam,

Beberapa hari lepas, semasa saya fikirkan apalah yang saya mahu tulis dalam artikel kali ini, tiba-tiba teringatkan kata-kata seorang pensyarah mikrobiologi saya semasa belajar di Volgograd, Rusia dulu. Sewaktu kelas, Irina berkata  "ты врач, ты интеллектуальный человек."(Kamu doktor, kamu adalah manusia intelektual) Ini setelah beliau terkejut bahawa kami bakal doktor Malaysia ni, tidak pernah meluang masa menonton ballet di Rusia.

Gambar: Ini rupa sebelum menjadi seorang HO.

Irina percaya manusia intelektual(yang pandai-pandai) perlu menjebakkan diri dengan bidang kesenian seperti mengamati lukisan, menghayati muzik, menonton tarian dan teater; dan sebagainya. Seolah-olah manusia intelektual semestinya meminati seni sesuai dengan nalurinya. Akhirnya sepanjang 6 tahun saya di sana, saya masih tidak pernah tonton ballet Rusia. :-)

Namun begitu, semasa di Volgograd lah saya pertama kali menonton teater, mempelajari стихотворение(sajak) terutamanya karya-karya Alexander Sergeyvich Pushkin seperti "осень"(Musim Luruh), pergi ke muzium. Terpaksa sebenarnya. Namun itulah antara aktiviti-aktiviti kelas Bahasa Rusia yang saya hadiri di sana, bawah bimbingan guru Zoya yang dibenci. Haha. Malah kami pelajari biografi hidup Sasha(nama timangan Alexander Pushkin), bagaimana beliau mati dengan tragis dalam sebuah duel pistol. Begitu obsesnya orang Rusia dengan karyawan mereka, sehingga sajak осень masih bergeliga di kepala saya sehingga sekarang.

Gambar: Menjadi lebih daripada sekadar doktor
adalah satu cabaran yang besar, seluas padang Siberia.

Dan ketahuilah anda bahawa saya pernah sertai pertandingan kecil bersajak di sana. Setelah dipaksa oleh Zoya. Dewan dipenuhi pelajar bertukar sunyi tatkala saya mendeklamasikan sajak ketika itu. Saya tidak tipu. Dalam hati, saya rasa pasti menang tempat pertamalah ni. Sehinggalah saya terlupa perenggan terakhir. Apa yang terjadi selepas itu, biar tinggal sebagai sejarah.

Walaupun saya seboleh-bolehnya tidak mahu mengaku guru Zoya ada mempengaruhi saya kini, tetapi mungkin kenangan di Volgograd dulu memberi suntikan untuk saya menulis sajak saya sendiri. Bacalah kalau anda berminat . For Beauty Is A Curse, In Love With The World, Oh Passion, Ohh Langit, Pengemis Pahala, Indahnya Dunia Jika Semua Wanita Hodoh, Baitulmaqdis Bukan Milik Kita.

Juga tidak hairanlah, saya juga mula berminat menonton teater di Istana Budaya. Teater pertama saya lihat adalah Natrah dibintangi Maya Karin, arahan Erma Fatima. Pernahkah saya cerita di Jabatan Kecemasan, mesin ultrasound kami dinamakan nama perempuan, iaitu Maya dan Tipah?

Gambar: (Kiri) Maya - gadis paling panas di Jabatan Kecemasan. (Kanan) Saya buat FAST scan pada pesakit trauma. Kita boleh belajar buat FAST dengan MO.

Dan semalam saya baru menonton teater Uda dan Dara. Agak mengecewakan dari segi plot, lakonan sesetengahnya dan prop. Namun yang bagusnya adalah nyanyian Misha Omar dan lakonan watak Utih yang membuat saya teruja. Secara keseluruhan, kalau nak dibandingkan dengan teater Natrah, memang jauh ketinggalan.


Gambar: Bersama Dr Helmi(Seremban), Dr Aimi(Putrajaya), Dr Fazliana(MO Sg Buloh)

Selain menjebakkan diri dalam bidang seni, saya lebih percaya manusia intelektual perlu sentiasa didampingi buku atau majalah. Malah saya percaya semua rakyat perlu membaca jika kita ingin menjadi sebuah tamadun moden. Maksud saya bukannya buku-buku yang berkaitan bidang kerja kita sahaja. Sebaliknya berkaitan politik, ekonomi dan sosial, hinggalah kepada jurusan yang lebih terperinci seperti pengurusan kewangan, agama, motivasi diri, kemahiran komunikasi dan sebagainya.

Begitu juga sebagai doktor. Janganlah kita sekadar ditimbuni buku-buku perubatan, kerana di luar sana, terdapat banyak lagi ilmu-ilmu pengetahuan yang penting, menarik dan bermanfaat kepada kita. Bagi saya, buku yang bagus adalah apabila anda habis membacanya, anda merasakan pemandangan anda dulu begitu sempit, dan buku tersebut telah melapangkan pemikiran anda. Saya sudah banyak membaca buku-buku seperti tersebut.


Gambar: Antara buku dan majalah yang saya baca.

Bila mengingat kembali kenangan belajar di Rusia, bukannya berapa markah пять(markah A) yang saya perolehi, yang dikenang. Sebaliknya adalah segala masa dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan bersama kawan-kawan dulu. Segala perkara pelik dan luar biasa yang dilakukan. Segala perbezaan antara budaya Rusia dan Malaysia. Segala pemandangan menarik daripada Mamaev Kurgan hingga ke pemandangan suangai Volga sewaktu musim sejuk. Tiada nilai wang yang mampu membelinya.

Gambar: Sambut Hari Raya di depan Mamaev Kurgan.

Ingat lagi dulu, sewaktu menubuhkan Kelab UMNO Volgograd. Bermula hanya daripada impian yang dipasang sewaktu baring bawah selimut ketika musim sejuk di Volgograd. Mencari rakan seperjuangan menubuhkan Jawatankuasa Penubuhan. Menghadapi tentangan golongan fanatik PAS. Balik ke Malaysia, pergi ke Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara. Melancarkan aktiviti kelab dan akhirnya menyerahkan kuasa kepada kumpulan seterusnya. Pengalaman beginilah yang memberi makna kepada hidup sebagai mahasiswa.

Begitulah juga saya menyeru pembaca-pembaca di luar sana, supaya bukan sekadar menjadi seorang doktor/pekerja, sukan sekadar seorang pelajar, sebaliknya lakukanlah sesuatu di luar jangkauan diri. Biar susah dan takut, tapi akan tiba satu hari kita akan pandang balik ke belakang. Kenangan-kenangan inilah yang akan mengukir senyuman.

Jadi begitulah juga saya kini, juga sedang cuba merancang sebuah projek untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat sekeliling. Kertas kerja awal sudah siap. Kini dalam proses mencari rakan yang berkongsi impian. InsyaAllah bila jadi, saya akan ceritakan pada blog ini. Walaupun hidup sebagai HO letih dan sibuk, tetapi bak kata pepatah pujangga Melayu, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan."

Salam

Amatilah iklan-iklan di blog ini. Jika tertarik, rajin-rajin klik-lah yer.
Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Tuesday, 6 July 2010

"THIS IS A GOOD CHEST COMPRESSION"

Salam,

Melakukan CPR(cardiopulmonary resuscitation) merupakan sesuatu yang mendebarkan. Terutama sekali apabila anda belum pernah atau kali pertama melakukannya pada manusia hidup(atau mati) :-(. Semasa belajar dulu, buatpun pada patung. Malah Siti Nurhaliza lagi berpengalaman membuat CPR pada Allahyarham Yasmin Ahmad berbanding pelajar-pelajar perubatan. Haha.

Kali pertama saya berpengalaman membuat CPR adalah semasa di Jabatan Pebedahan Am. Untuk pengetahuan anda, di hospital, kita tidak buat bantuan pernafasan mulut ke mulut. Sebaliknya kita bag pesakit tersebut. Jadi jangan gusar atau fikir yang bukan-bukan.

HO yang terlibat dalam kelas sehari ACLS di Jabatan Kecemasan bersama saya.
 
Dr Hidayah(Pakar Perubatan Kecemasan) menunjuk kesilapan dalam langkah kami
merawat pesakit dengan cardiac arrest dalam clinical case yang diberi.

Saya rasa saya pernah ceritakan dalam blog ini. Pakcik M meninggal sebab pulmonary embolism selepas terlantar lama di wad. Kali pertama membuat CPR pada pesakit, betul-betul merisaukan saya. Masa tulah baru hendak mengingat dekat mana perlu tekan, macam mana posisi menekan, berapa kekerapan(padahal bila bagging, tiada kiraan antara bantuan pernafasan dan chest compression). Menggelabahlah saya, seperti setiap kali disuruh buat benda baru yang lain.

Pakcik M meninggal dan begitu juga beberapa pesakit lain yang saya berkesempatan membuat CPR, dan lihat orang lain buat CPR. Senang cerita tiada pesakit yang hiduplah bila dikehendaki membuat CPR. Jadi kemarau CPR saya pun berterusanlah beberapa bulan.

Sehinggalah saya berada pada minggu ke-2 di A&E. Datanglah satu pesakit AMI(acute myocardial infarction) di Zon Resus(merah). Datang-datang terus collapse. Maka berkerumunlah doktor pakar, MO, HO, MA(medical assistant) dan jururawat attend pesakit. Cardiac monitoring tunjuk pesakit sudah ada V-fib(ventricular fibrillation). Maka bermulalah pusingan chest compression, resuscitation drugs(adrenaline dan atropine) dan defibrillation.

Ni gambar saya dari belakang ambulan melanggar lampu merah dalam perjalanan ke rumah pesakit
dilaporkan sawan. Cara  pemandu ambulan bawa mengalahkan Michael Schumacher.
Rasa takut ambulan terbalik je. Kalau ikutkan, HO tidak ditugaskan pergi ke tempat kejadian.
Tapi malam tu, saya kamcing dengan MA Redzuan yang bertugas dan juga MO Dr Rabiha di Zon Semi-
Kritikal. Jadi dapatlah pelepasan untuk pergi naik ambulan.

Saya yang ketika itu sedang siapkan dokumentasi pesakit lain di kaunter, pandang ke arah pesakit, lihat MA buat chest compression, HO bag pesakit, doktor pakar mengarah tindakan seterusnya, dan kemudian sambung kerja saya seperti biasa. Hahaha. Hari tu lesu sikit.

Orang yang tidak pernah buat CPR terutamanya chest compression tidak akan tahu betapa letihnya proses tersebut. Ianya sangat memakan tenaga, jadi mesti bertukar-tukar orang. Bila dah tamat buat CPR, anda akan perasan, baju sampai ke seluar anda basah kuyup dek berpeluh.

Jadi alkisahnya, yang membuat chest compression selalunya-lah, adalah lelaki. Ianya seperti undang-undang tidak bertulis. Cuba bayangkan perempuan lompat-lompat(tiadalah sampai lompat-lompat) buat chest compression. Hodoh rupanya, hahaha. Tetapi ada sahaja HO perempuan yang buat, kekadanglah. Selalunya, mereka hanya buat bagging sahaja.

Jadi setelah saya sudah siap semua kerja saya, mereka masih membuat ACLS(advanced cardiac life support). Saya masih berdiri di sebelah kaunter perhati. Saya tidak mahulah orang kata macam 'orang kampung main bola', ke mana bola pergi, ke situlah semua orang kejar. Hehe. Setelah lama perhati, saya mula rasa bersalah, lagi-lagilah apabila melihat abang MA berpeluh jantan membuat compression. HO perempuan relax jer buat bagging, bukannya hendak tukar dengan abang MA.


Bergambar dengan anak saudara Syifa dalam perjalanan balik
dari kenduri kahwin sepupu di Seremban.

Maka saya pun buka lab coat perlahan-lahan. Dengan tenang mengorak langkah ke arah pesakit. Hahaha. Saya hampiri abang MA dan kata, "Bro, kau boleh lagi tak ni?" Muka abang MA masa tu mengambang, bagaikan bulan jatuh ke riba.

Jadi saya dan MA tu pun bergilir-gilir melakukan chest compression lebih kurang 5-6 kali. Pada suatu ketika tu, pesakit sudah diberi IV adrenaline/atropine lebih 7 kali, dan defibrillation telah dibuat 6 kali. Saya pun dah mula bayangkan apa yang akan terjadi pada pakcik tersebut.

Bila saya buat chest compression, saya selalu bayangkan yang saya sedang mengepam darah keluar daripada jantung, dan bukan sekadar picit-picit sahaja. Jadi bila jururawat kata, "Doktor-doktor, kena buat laju lagi", saya buat tidak dengar sahaja. Dalam hati, "Cuba kau buat sendiri, saya nak tengok." Letih tahu tidak, letih. Malah kalau kita baca American Heart Association circulation(AHA), penekanan diberikan pada kualiti setiap compression bukannya kelajuan.

Jadi nak dijadikan cerita, sedang saya ingat hendak tukar, suruh MA ambil alih, tiba-tiba doktor pakar menjerit, "This is a good chest compression. Continue, continue." Bergema Zon Resus dan terus sunyi alam semesta. Bila saya dengar kata-kata azimat doktor pakar(Dr. Azharna) tersebut, entah dari mana datangnya semangat dan tenaga untuk saya teruskan compression. Dan 2 minit kemudian, Dr. Azharna kata, "Okay stop." Dupdup.....dupdup....percaya atau tidak, dengan kuasa Ilahi ditakdirkan jantung pakcik tadi kembali kepada sinus rhythm. Pulse palpable.

Siapa kata doktor lepasan universiti Rusia tidak reti buat CPR??!! Lepas tu, siap kecoh tulis dalam blog lagi.
Menghadiri perkahwinan Dr Judin(kanan sekali) bersama (dari kiri) Dr Izyan(junior yang baru tamat belajar)
dan Dr Najmi. Silaplah, abang Judin yang kahwin, bukan Judin.
Rasa gembira ada, rasa hendak tangis pun ada. Saya tidak sangka begini rasanya apabila kita dapat menyelamatkan nyawa seseorang begitu drastik sekali.

Apabila saya ceritakan pengalaman saya sebelum ini kepada MO dan doktor pakar lain, mereka sendiri kata, kadang-kadang pesakit tu dah dibuat defib berbelas kali sekalipun, mereka boleh hidup balik. Inilah bezanya pesakit di A&E dan di ward. Kebanyakan pesakit di A&E mempunyai penyakit acute, yang membolehkan kita melakukan intervention dengan berkesan.

Pengalaman ini mengubah perspektif saya tentang BLS dan ACLS. Ianya benar-benar boleh mengubah nasib seorang pesakit. Walaupun jika antara 10 pesakit, hanya 2 sahaja yang boleh diselamatkan sekalipun, ianya jika dilakukan dengan teknik yang betul, mampu menyelamatkan nyawa pesakit.

InsyaAllah semoga bermanfaat.

Salam

Amatilah iklan-iklan di blog ini. Jika tertarik, rajin-rajinlah klik ya. :-)

Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Sunday, 27 June 2010

PANGGILAN KECEMASAN DARI STESEN LRT SENTUL TIMUR

Salam

Tragedi malang berlaku pada 26/6/10, 1230 pagi di Kuala Lumpur. Sebuah tren LRT telah terbabas dari landasan berhampiran stesen LRT Sentul Timur.

0035: Pusat panggilan HKL menerima panggilan kecemasan daripada polis. HKL dikehendaki menghantar  satu pasukan perubatan ke kawasan bencana dengan kadar segera.

0040: Jabatan Kecemasan telah memutuskan melantik Dr. Khairul(MO) sebagai Team commander. Sebahagian tenaga kerja akan dikerah ke kawasan bencana.

0045: Satu pasukan yang melibatkan 6 HO(termasuk saya), 4 jururawat dan 2 MA telah dipilih untuk menyertai pasukan kecemasan.


0050: Saya bersama ahli pasukan yang lain telah diarahkan berkumpul di Dewan Dato' Abu Hassan. Taklimat telah disampaikan oleh Dr. Khairul berkenaan kes kecemasan dan maklumat terkini.

Strategi dan pembahagian tugas telah dilakukan. Langkah pertama di kawasan bencana adalah untuk menetapkan kawasan Medical Base Station(MBS) dan membinanya dengan kadar segera. MBS akan dibahagikan kepada Resus, Semi-critical dan Green zone.




Gambar: Dr Khairul memberi taklimat tentang apa yang patut dijangkakan
di tapak bencana nanti.

Saya bersama Dr. Teo telah ditugaskan bersama Triage Officer MA Hazami di Pintu Masuk(Entry Point) kawasan bencana. Bagi setiap kawasan bencana, semua mangsa mesti melalui entry point sebelum boleh dibawa ke MBS. Ini supaya jumlah mangsa dapat direkodkan dan supaya keadaan terkawal. Bergantung kepada kawasan dan keadaan bencana, mungkin boleh terdapat lebih daripada satu entry point. Tugas kami di sini adalah untuk melabelkan mangsa dengan Triage tag mengikut kriteria yang ditetapkan.

Pembahagian:-
  • Pesakit mampu berjalan sendiri - Green tag.
  • Pesakit tidak mampu berjalan - Yellow atau Red tag.
  • Red tag - jika pesakit mempunyai salah satu daripada tanda berikut :-
  1. Unconscious
  2. Breathing abnormalities
  3. Circulation abnormalities
Saya tidak puas hati, dan minta Dr. Khairul letak saya di Resus. Tetapi Dr. Khairul kata, kita perlukan lelaki di Entry point untuk membawa pesakit ke MBS. Saya pun terpaksa mengalah.

Sementara pasukan diberikan taklimat, semua barang keperluan untuk membina MBS telah diangkut ke dalam ambulans.

0100: Pasukan kecemasan HKL bertolak ke stesen LRT Sentul Timur. Semasa di dalam ambulan, dengan bunyi siren ambulan memecah kesunyian malam, dengan kepantasan pemandu ambulan membawa celah-celah kereta lain, jantung saya dah mula berdegup kencang. Rasa cuak pula.

0110: Kami tiba di kawasan kejadian. Di saat tu, semua ahli pasukan kelihatan cuak. Punyalah ramai orang  mengerumuni kawasan kejadian. Dapat lihat lori bomba menaikkan tangga ke landasan LRT dari bawah. Sebuah LRT dengan jelas nampak terhenti di tengah landasan. Pintu-pintunya terbuka dan ternampak kelibat manusia bermacam ragam cuba keluar.

Gambar: Kalau anda dapat lihat, bomba sedang menaikkan tangga ke landasan LRT.
Terdapat ramai orang awam.

0115: MBS telah ditetapkan 200m dari tempat kejadian. Entry point telah ditetapkan di Stesen LRT Sentul. Semua mangsa akan dibawa oleh bomba melalui pintu masuk tersebut.

Sedang saya dan ahli pasukan lain memasang katil dan mengatur peralatan, ketua pasukan bomba datang dengan khabar berita, 2 mangsa telah disahkan mati. Adakah ini disebabkan kami lambat sampai ke tempat kejadian??!!



Gambar: Saya di depan MBS

0120: Saya telah siap bersedia di entry point. Sepanjang malam itu, ada lebih kurang 10 pesakit yang perlu diangkut menggunakan stretcher(Yellow dan Red). Yang lain kebanyakannya hanya cedera ringan dan dihantar ke Green zone di mana Dr Kean Joo bertugas. Bila berulang alik angkat mangsa dari entry point ke MBS, barulah tahu betapa beratnya manusia ni. Badan bermandi peluh!

Setelah bilangan mangsa yang masuk melalui entry point kurang, saya telah dihantar untuk membantu di MBS. Bila sampai di MBS, mangsa bersepah!! Ada pesakit yang telah di-intubate, pakai cervical collar, splint kaki dan tangan dan bermacam-macam lagi. Ada yang baring di atas katil, ada yang di atas lantai. Saya perasan tiada satu pun pesakit yang telah dihantar lagi ke hospital. Keadaan kucar-kacir sehingga tiada siapa yang perasan. Setelah satu pesakit distabilkan, datang pesakit lain.

Saya terus jumpa ketua bomba untuk menguruskan ambulan dengan kadar segera. 4 ambulan telah datang, setiap satunya dari HKL, DBKL, Bomba dan Jabatan Pertahanan Awam. Satu-persatu pesakit telah dihantar. Di dalam situasi ini, kita mesti tahu untuk mengutamakan pesakit mana yang perlu dihantar dulu. Di dalam kes ini, terdapat seorang pesakit mengandung yang mempunyai tanda-tanda keguguran. Maka beliau telah dihantar dulu.

Gambar: Ahli bomba yang sedia berkhidmat.

Gambar: Pasukan kecemasan HKL di depan ambulan kami.

Setelah semua pesakit dihantar ke hospital dan tiada lagi mangsa yang dilaporkan, kami pasukan kecemasan HKL menarik nafas lega. Masing-masing senyum-senyum memandang yang lain.

0230: Ketua bomba telah isytihar standing down order. Yakni bermaksud, tiada lagi mangsa yang dijumpai dan kawasan bencana dalam keadaan terkawal.

BERAKHIRLAH DISASTER DRILL pada malam tersebut!!! :-p

Yaaa beettuulll! Kisah di atas menceritakan disaster drill antara pihak polis, bomba dan HKL dalam untuk menghadapi kes bencana di masa hadapan. Satu pengalaman yang menarik dan banyak mengajar saya.

Gambar: Rakan sepasukan.

Gambar: Jururawat yang terlibat.

Dr Khairul dah cakap awal-awal, sebelum ni anggota HKL telah dilabel tidak serius melaksanakan tugas semasa drill sebelum ini. "Aku tahu takde sesiapa yang senyum-senyum masa drill nanti", Dr. khairul memberi amaran."Aku marah nanti, aku cakap betul ni".

Saya yang datang untuk pergi drill malam tu pun, ingat ni main-main je. Lepak di bilik pemandu, tengok Brazil lawan Portugal, sorak sana sini. Tetapi bila dicerita ianya melibatkan polis dan bomba, perrghhh baru mula rasa cuak. Di kawasan drill pun, orang awam memang ramai gila tengok. Saya rasa mereka pun tidak tahu yang itu hanyalah drill. Mangsa-mangsa pun seperti pelakon profesional, dengan make-up realistik darah dan luka. Saya tengok open fracture mangsa, nampak macam betul punya.

Gambar: Saya dan Dr. Khairul

Gambar: Mungkinkah sesi bertangkap gambar ini yang menyebabkan dua mangsa tidak sempat diselamatkan??

Seronok, kalau boleh nak buat lagi. Drill ni dibuat setiap 6 bulan saya rasa, jadi saya nasihatkan sesiapa yang berpeluang untuk serta drill jangan lepaskan, walaupun ianya berlangsung di luar waktu kerja anda.

PS: InsyaAllah, saya akan membeli kamera dalam masa terdekat. Dan insyaAllah gambar yang saya tangkap lain kali lebih jelas dan cantik. :)

Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Salam

Sunday, 20 June 2010

DOKTOR YANG SAKIT

Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Salam,
Sebelum ni selalu sangat tulis berkenaan perkara yang berat-berat. Jadi kali malas nak buat rangka artikel, tulis secara spontan sahaja. Ingat nak tulis banyak-banyak masa cuti Khamis lepas, tapi kena keracunan makanan pula. Terbantut rancangan.

Dalam masa dua minggu lepas, sudah dua kali saya jatuh sakit. Minggu sebelumnya kena jangkitan acute pharyngitis. Alkisah, kerja doktor yang sesak dan meletihkan, ditambah lagi dengan sakitnya, memang boleh kecundang niat menjadi doktor.

Baru-baru ni, pelajar-pelajar perubatan di Rusia baru tamat belajar, di HKL ni juga banyak menerima HO universiti tempatan yang baru masuk. Muka semua nampak 'suci' dan 'luhur', tidak tahu malapetaka yang bakal menanti mereka.

Antara yang pindah masuk asrama, di bilik sebelah, ada budak nama Akhir dari USM. Tengah bertegur sapa, dia sebut,"Kau ada tulis blog kan? Saya cam muka. Kawan ada perkenal blog kau, saya adalah baca sikit-sikit." Woooww. Ini dah kira status selebriti ni, orang boleh kenal tanpa perkenalkan diri.

Gambar: Selain HO, MA perempuan yang pertama juga sudah mula
bekerja di HKL. Munirah sedang cuba memasang branulla di tangan pesakit.

Kalau di Peads dulu memperkenalkan saya dengan dunia perubatan, Surgical mengajar saya tentang disiplin dan kesempurnaan dalam melaksanakan kerja, kini A&E melatih saya untuk menjadi doktor yang sebenar. Dalam erti, berfikir dan bertindak sebagai seorang doktor seolah-olah nyawa atau nasib pesakit itu terletak pada bahu saya seorang sahaja. Memang MO akan tetap ada, tetapi sebelum MO sampai atau tanya saya, saya perlu ada working diagnosis di fikiran saya, apa basis nya, apa differential-nya, apa further investigation yang saya mahu/telah buat, dan apa initial treatment yang saya akan lakukan.


Gambar: Sedia berkhidmat di Yellow zone(semi-critical) seorang diri,
demi negara. 

Kalau di jabatan lain, saya cuma bentang kes, dan MO akan tentukan halatujunya. Kini saya perlu buat full workout terhadap pesakit, dan bentang kes dengan diagnosis yang terbukti. Kadang-kadang MO cuma nak tahu apa diagnosis saya dan apa basis diagnosis saya. Kalau dia yakin dengan hujah saya, dia cuma suruh teruskan pelan rawatan. Tapi masa awal-awal dulu, agak banyak juga diagnosis yang salah ataupun tidak kukuh. Namun kita belajar daripada kesilapan.

Semakin hari semakin rasa seperti doktor, tapi kereta saya masih seperti dulu - kancil mama saya. Bila saya kata saya bawa kereta kancil, jururawat pun tidak percaya. Ada ke doktor bawa kereta kancil?! Saya bukannya bakhil mahupun sengkek, tapi saya tengah tunggu Proton untuk keluarkan model baru penggati Proton Waja, yang orang kata ada mirip-mirip Mitsubishi Lancer. Dengar kata bulan November ni nak keluar. Jadi jangan memandang rendah orang yang memandu Kancil di jalanraya, kerana dia mungkin seorang DOKTOR!!

Gambar: Kancil mama yang sudah berusia lebih 10 tahun.

Tadi saya sempat berjumpa dengan kawan MRSM Langkawi dulu. Rancang hendak bermain futsal, tapi akibat kesesakan lalulintas, hujan dan tidak tahu tempat, hatta apabila saya sampai, mereka semua sudah habis main. Jadi cuma dapat pergi makan dan lepak di Original Kayu berdekatan Ampang Sports Planet. Makanannya biasa saja. Lama juga lepak, tanya-tanya apa perkembangan terbaru, kerja apa, gaji berapa. Ada yang kerja Petronas gaji besar, ada jadi freelancer buat video, ada yang baru tamat belajar mencari kerja. Baru tahu kerja doktor gaji sikit jjeee!!! Ikhlaskan niat, ikhlaskan niat....




Gambar: Sebagai jurutera Petronas yang bergaji >RM5k sebulan dan menerima bonus 5 bulan setahun akhirnya Anas(gambar bawah, kanan sekali) belanja kami semua makan.

OOhhh satu lagi, sekarang saya boleh berenang gaya bebas 100 meter tanpa henti, selepas berminggu-minggu berlatih. Siapa kata kerja doktor letih sampai tiada masa untuk benda lain. OK! Jumpa lagi jika berkesempatan. InsyaAllah saya akan tulis perkara yang lebih ilmiah di masa hadapan.

Salam

Sunday, 6 June 2010

JABATAN KECEMASAN: CEPAT DAN CEPAT

Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Salam,
Atas cadangan pembaca, saya telah mewujudkan Facebook Page untuk kemudahan pembaca berinteraksi dan juga supaya mudah artikel terkini disebarkan ke orang ramai. Cari kata kunci SayaDoktor.
Sebelum saya teruskan penulisan saya, saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan SEMOGA BERJAYA, kepada adik-adik saya di Volgograd, Rusia yang sedang menjalani peperiksaan, terutama yang tahun ke-6 menghadapi GOS. Baca ikhlas menuntut ilmu, bukan untuk periksa, akan melapangkan dada anda. Rindu saya, hidup di Volgograd.

Gambar: Saya di Zon Merah atau Resus. Semua ada di setiap katil, cervical collar, cardiac monitoring, oxygen, alat-alat resuscitation sperti laryngoscope, ET tube dan sebagainya.
PERMULAAN

Dari Volgograd ke HKL, kini saya sudah hampir 3 minggu berada di Jabatan Kecemasan/ED- Emergency department(posting A&E - Accidents and Emergencies). Wooowww itu saya mampu katakan. Rasa takut ada, cemas, bersemangat, seronok, letih, semua ada.

Untuk penempatan ke-3 ni, sebenarnya terlalu awal untuk masuk ke ED, kerana memerlukan kriteria penempatan ke-4 dan ke atas(kerana berhadapan dengan semua kes, jadi terbaik jika sudah tamat penempatan di semua jabatan lain). Tetapi memandangkan ED ketika itu, sedang kekurangan HO, dengan kakak pasca-siswazah pun memujuk saya mengambil ED, saya pun akhirnya ditakdirkan masuk ke ED.

Gambar: Di sinilah di mana semuanya bermula. Laluan untuk ambulan.
Di HKL dan saya rasa di hospital mana pun, ED adalah tempat yang paling banyak belajar. Ini serius banyak belajar punya. Dari ECG, CPR, prosedur-prosedur, differential diagnosis, rawatan kecemasan hingga ke kes yang pelik-pelik, semuanya berlaku di ED, semuanya paling terperinci belajar di sini.

RUTIN

Perkara pertama yang saya dapati, di ED tiada tagging, yeehaaaa. Masuk terus mula kerja, sambil belajar sesuaikan diri, sambil kerja. Banyak lagi perbezaannya berbanding jabatan lain. Jadual kerja pula diaturkan mengikut shift. Sehari dibahagikan kepada 3 shift:-
  1. Pagi 8pg-3ptg = 7 jam
  2. Petang 3ptg-10mlm = 7 jam
  3. Malam 10mlm-8pg = 10 jam
Dalam seminggu kita perlu kerja lebih kurang 8 shift, termasuk 2 kali shift malam. Seminggu adalah sehari cuti. Bila kerja shift malam, selalunya kita akan kerja juga shift pagi sebelum dan selepas shift malam tu(walaupun nampak macam teruk, tapi sebenarnya lebih ringan berbanding oncall di wad). Yelah nak cukupkan kuota. Walaupun kerja dalam jangkamasa yang lebih pendek, namun keletihan fizikalnya amat memakan tenaga. Lagi-lagilah, rutin makan dan tidur kita akan bercelaru, itu mungkin faktor yang menyebabkan saya cepat letih akhir-akhir ini.

Gambar: Saya curi tidur sebentar selepas post-night shift. Ngantuk-ngantuk.

Turnover rate pesakit di ED cepat, di mana sebaik sahaja pesakit sudah stabil, kes telah dirujuk ke jabatan yang berkenaan, pesakit akan terus dihantar ke wad yang berkenaan. Kerja A&E bukan merawat sehingga sihat, tetapi menstabilkan pesakit dan rujuk kepada kepakaran yang berkenaan.

Malangnya sejak beberapa bulan lepas, HO di ED tidak dibenarkan membuat tuntutan oncall/nightshift atas arahan Ketua Pengarah Kesihatan. Bab-bab potong-potong ni memang cepat dikuatkuasakan, bab waktu rehat wajib, walaupun surat pekeliling telah dikeluarkan, tidak pernah pula. :)

ZON-ZON

Jabatan kecemasan terbahagi kepada beberapa bahagian utama, iaitu:-
  1. Triage
  2. Zon Hijau(green zone)
  3. Zon Kuning
  4. Zon Merah
Gambar: Penolong Peg Perubatan/MA di Triage

Saya masih belum berkesempatan bekerja di Triage, kerana selalunya diisi oleh HO yang lebih berpengalaman di situ. Namun fungsinya adalah, menerima pesakit di pintu hadapan ED, assess pesakit, dan tentukan samada pesakit perlu dihantar ke OPD(out patient department - bagi kes yang tidak memerlukan perhatian segera) atau zon-zon yang berkenaan bersesuaian dengan kriteria yang telah ditetapkan. Adalah penting tidak melakukan kesilapan di sini, kerana ia mungkin membawa padah kepada pesakit.

Zon Hijau berfungsi seperti klinik, cuma pesakit memerlukan perhatian segera walaupun stabil. Contoh kes adalah seperli bayi-bayi kecil yang demam, kes trauma kecil, pesakit AGE with dehydration, kes AMI yang berada dalam keadaan stabil dan sebagainya. Namun klinik zon hijau memerlukan HO bekerja dengan pantas dan cekap. Clerking, arah investigation, buat diagnosis dan beri rawatan semuanya kena cepat dan cepat.

Gamabar: Di zon hijau, kadang-kadang pesakit mengamuk sebab lama menunggu. Terlalu banyak kes.

Pada waktu awal dulu, walaupun saya rasa tak pernah saya clerk kes sepantas dan sebanyak tu dalam sehari, pada penghujung shift, MO kata, "Azzad, you have to clerk faster. This is A&E. How many case did you clerk today??!!". Menyebabkan saya masuk ke depress mood sehari. Nilah perasaan saya setiap kali bila kita dah cuba beri sebaik mungkin, lepas tu MO atau doktor pakar seolah-olah katä, "You're not good enough."

Gambar: Asthma bay sekali-sekala akan sunyi. Apabila datang hujan, itulah petanda
pesta asthma bay akan bermula.

Di zon hijau juga terdapat asthma bay, di mana semua kes AEBA(acute exacerbation of bronchial asthma), akan dihantar terus ke sini. Seorang HO akan jaga asthma bay dan beri Neb. Salbutamol/terbutaline etc dan juga IV hydrocort jika perlu. Ada juga ketika di mana pesakit berada dalam keadaan severe, yang kita perlu identify dan hantar masuk ke wad.

Zon kuning dan merah pula adalah seperti wad kecil yang menerima pesakit yang lebih kritikal. Apabila pesakit baru masuk, bunyi loceng akan dibunyi. Krriiiinnnggg. Sekali bunyi maksudnya kes zon kuning. Tiga kali bunyi maksudnya kes zon merah.

Di zon kuning, kita berhadapan dengan kes trauma yang lebih teruk, dislocation, acute abdomen, severe SOB, psychosis, AUR(acute urinary retention), head injury with LOC, drug overdose/poisoning dan sebagainya. Bila kerja di zon kuning, barulah kita tahu banyak kes psychosis di KL ni. Kes baring tengah-tengah jalanraya, mengamuk dan sebagainya.

Gambar: Di zon kuning, selalunya sibuk. Benci dengar loceng. Lagi-lagi pukul 4 pagi.

Di zon merah, inilah dikatakan 'syurga ilmu', di mana kita berhadapan dengan pelbagai kes kritikal seperti AMI, symptomatic bradycardia, SVT, v-fib, pulseless electrical activity, severe trauma with low GCS, intracranial bleeding, semua jenis shock, APE(acute pulmonary embolism), APO(acute pulmonary oedema). Di sini saya dapat lihat sendiri ECG yang jarang dapat lihat seperti SVT, hyperacute MI(impending MI), APE, 'u' wave dan banyak lagi. Keadaan pesakit boleh berubah sekelip mata. Sedang saya nak isi borang x-ray, pandang belakang, rakan HO tengah buat CPR, intubation. Tengah saya penuhkan clerking, pesakit dah SOB, BP jatuh. Jadi penting untuk kita sentiasa waspada.

KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, kerja di A&E melatih saya bekerja dengan lebih cekap, efisyen dan paling penting cepat. Semua clerking, examination, investigation, differential diagnosis dan pelan rawatan perlu berlaku dan melekat di kepala dahulu, rawat pesakit, kemudian bila pesakit stabil, barulah kita tulis balik di clerking sheet. Ini membuatkan kita rasa seperti doktor yang sebenar.

Gambar: Kolam renang bersebelahan HUKM, tempat saya melepaskan tekanan.

Saya masih perlu latihkan diri bekerja dengan cepat. Differential diagnosis saya juga perlu diasah. Kadang-kadang tu, bukan tidak tahu, cuma tidak terkeluar di kepala semasa berhadapan dengan pesakit. Bila ingat balik, rasa 'frust' bila MO nampak, kita tidak nampak tandanya. Saya masih tercari-cari strategi yang sesuai untuk buat differential diagnosis.

Sekarang ni di HKL, sudah mula masuk HO baru, yang graduate di Malaysia. Untuk adik-adik di Volgograd, bila jadi HO nanti, perjalanan hidup anda yang sebenar hanya baru bermula. : p

Gambar: Ibrahim Ali memberi ucapan sebelum solat hajat untuk Palestin, di Masjid Kg Baru. Walaupun tidak bersependapat dengan sebahagian pendirian beliau, namun di mana yang betul, kita akan sokong.