Salam,
PENGHUJUNG GARISAN
Akhirnya, sekarang saya sedang berada di 100m terakhir. Dan sedang membuat pecutan terakhir. Itulah perasaannya berada di penempatan terakhir Latihan Siswazah. Dalam masa 4 bulan lagi, saya akan menjadi MO. Kelak saya akan peroleh Sijil Pendaftaran Perubatan Penuh yang akan mengizinkan saya mengamal perubatan tanpa perlu pengawasan lagi.
Itu adalah suatu pencapaian yang besar untuk setiap doktor!
Nasi Ayam Azzad. Lima bintang. |
Spaghetti Goreng Ala Azzad. Rasa tidak sesedap rupanya. |
PATAH TULANG
Pandangan pertama saya berada di Wad Ortopedik adalah, lapangnya wad berbanding Wad Perubatan yang sentiasa sesak dan masih ditambah lagi pesakit. Setelah bertanya beberapa rakan lain yang telah tamat kerja di Ortopedik, saya telah pilih Wad 5 sebagai destinasi saya terakhir. Dikatakan kerjasama antara doktor dan jururawat di situ adalah terbaik. Agak benar.
Di setiap wad terdapat lebih kurang 30 orang pesakit, dijaga 3-4 orang HO. Saya ambil masa lebih kurang seminggulah untuk menyesuaikan diri. Saya perlu banyak lagi baca memandangkan tidak ingat sangat ilmu Orthopedik sewaktu belajar dulu.
![]() |
Belajar buat backslab dengan abang MA. |
![]() |
Tekun memasang backslab untuk pesakit yang mengalami bimalleolar fracture post screw fix. |
PASUKAN
Di Orthopedik HKL, doktor-doktor pakar dibahagikan mengikut pasukan sub-kepakaran seperti Spine team, Sports team, Tumor team, Peadiatric team, Hand team dan sebagainya. Yang menjadikan wad kelam kabut adalah disebabkan apabila 2-3 team boleh datang buat round serentak. Tetapi setakat ni tiada masalah pun. Doktor-doktor pakar dan MO semuanya profesional.
PEADS ORTHO
Namun ingat langit cerah sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Akhirnya saya telah dibuli untuk dihantar ke wad Orthopedik kanak-kanak. Ada HO di sana yang ingin berkahwin tidak lama lagi, jadi terpaksalah saya dengan berat hati merelakan diri pergi ke sana menggantikannya. Saya pun nak kahwin jugak!
Sedang saya tengah kerja di wad, tiba-tiba dapat panggilan daripada Dr Aizudeen(HUKM) yang akan kahwin tidak lama lagi. “Azzad, aku nak mintak tolonglah.” Saya terus tergelak,”Ahhah aku takleh Din, aku takleh. Hahaha. Aku malu Din.” Saya terpaksa menolak pelawaan sahabat belajar sekali di Volgo dulu untuk menjadi pengapitnya.
Bachelor party Dr Aizudeen(tengah). Bila berjumpa, banyak cerita keluar. Bersama Dr Khalid, Dr Helmi dan Dr Najmi. |
Judin kelihatan berat hati meninggalkan Kelab Single and Happy. |
Semoga berjaya menempuh alam perkahwinan Din. |
Saya perlu berhenti cakap berkenaan berkahwinlah.
PANDANG BELAKANG
“Gelisah tak bermaya. Manipulasi angkara kita. Dan bencana yang melanda. Generasiku menjadi mangsa...." Dunia Bunkface
Saat sedang berlari, sewaktu menghampiri garisan penamat, saya tidak boleh menahan diri daripada menoleh ke belakang. Ada banyak perkara tidak betul berlaku. Saya samada boleh tinggalkannya dan terus berlari, atau buat sesuatu.
Alhamdulillah, satu petisyen yang kami HO telah lakukan, ditandatangani 29 HO telah menunjukkan kesan yang positif. Bermula di dalam suasana yang takut, kami beranikan diri untuk bersuara. Sekalung terima kasih dan tahniah kepada Pengarah HKL, Dato’ Zaininah dan Timbalannya Dr Lailanoor, Dato Jeyaindran Ketua Jabatan Perubatan dan Dr Ngau Pakar Perunding Perubatan atas maklumbalas yang kami tidak sangka.
![]() |
Terima kasih langit kerana sudi menemani saya selama ini. |
Terima kasih sekali lagi pada Dr Lailanoor atas kesudian mendengar luahan fikiran dan hati saya dengan fikiran yang terbuka. Saya perasan saya mungkin telah menaikkan nada suara apabila dapati semua orang memandang saya setelah keluar dari pejabatnya.
BUKAN KATA AKHIR
Saya kata pada Dr Lailanoor, “It won’t end here.”
Pada mulanya, rasa susah hati bagaimana untuk mengumpulkan individu-individu untuk melakukan sesuatu. Allah swt mungkin ada perancangan-Nya sendiri tanpa kita sedari.
![]() |
Perjumpaan bersama kali ke-2, dari kiri Dr Kenny, saya, Dr Lailanoor (TP1) dan Dr Ding (TP2). Cuba memenangi sokongan mereka dalam perjuangan kami. |
Apabila berkongsi buah fikiran dengan kenalan-kenalan, kami ramai berkongsi sentimen dan idea yang sama. Apabila diajak untuk memperjuangkannya, dengan ringkas mereka menjawap, “Okay.” Tidak sangka, urusan kita dipermudahkan. Perjuangan diteruskan.
MINYAK
Pada hari terakhir di Wad 5, seorang pesakit yang juga merupakan pengusaha ubatan tradisional telah memberi saya sebotol minyak namanya ‘Minyak Sakti Kuda Putih’ untuk sakit sendi. Kemudiannya dihulurkan pada saya ‘Minyak Syurga Dunia’. Wooowww. Tapi saya tolak yang lagi satu tu dengan baik.
![]() |
Barang baik. |
“Alah, doktor cubalah. Doktor cubalah,” kata pesakit tersebut. Hendak saja saya jerit, “Saya tak kahwin lagilah pakcik.”