
Gambar: Ini rupa sebelum menjadi seorang HO.
Irina percaya manusia intelektual(yang pandai-pandai) perlu menjebakkan diri dengan bidang kesenian seperti mengamati lukisan, menghayati muzik, menonton tarian dan teater; dan sebagainya. Seolah-olah manusia intelektual semestinya meminati seni sesuai dengan nalurinya. Akhirnya sepanjang 6 tahun saya di sana, saya masih tidak pernah tonton ballet Rusia. :-)
Gambar: Menjadi lebih daripada sekadar doktor
adalah satu cabaran yang besar, seluas padang Siberia.
Walaupun saya seboleh-bolehnya tidak mahu mengaku guru Zoya ada mempengaruhi saya kini, tetapi mungkin kenangan di Volgograd dulu memberi suntikan untuk saya menulis sajak saya sendiri. Bacalah kalau anda berminat . For Beauty Is A Curse, In Love With The World, Oh Passion, Ohh Langit, Pengemis Pahala, Indahnya Dunia Jika Semua Wanita Hodoh, Baitulmaqdis Bukan Milik Kita.
Juga tidak hairanlah, saya juga mula berminat menonton teater di Istana Budaya. Teater pertama saya lihat adalah Natrah dibintangi Maya Karin, arahan Erma Fatima. Pernahkah saya cerita di Jabatan Kecemasan, mesin ultrasound kami dinamakan nama perempuan, iaitu Maya dan Tipah?
Gambar: (Kiri) Maya - gadis paling panas di Jabatan Kecemasan. (Kanan) Saya buat FAST scan pada pesakit trauma. Kita boleh belajar buat FAST dengan MO.
Dan semalam saya baru menonton teater Uda dan Dara. Agak mengecewakan dari segi plot, lakonan sesetengahnya dan prop. Namun yang bagusnya adalah nyanyian Misha Omar dan lakonan watak Utih yang membuat saya teruja. Secara keseluruhan, kalau nak dibandingkan dengan teater Natrah, memang jauh ketinggalan.
Gambar: Bersama Dr Helmi(Seremban), Dr Aimi(Putrajaya), Dr Fazliana(MO Sg Buloh)
Selain menjebakkan diri dalam bidang seni, saya lebih percaya manusia intelektual perlu sentiasa didampingi buku atau majalah. Malah saya percaya semua rakyat perlu membaca jika kita ingin menjadi sebuah tamadun moden. Maksud saya bukannya buku-buku yang berkaitan bidang kerja kita sahaja. Sebaliknya berkaitan politik, ekonomi dan sosial, hinggalah kepada jurusan yang lebih terperinci seperti pengurusan kewangan, agama, motivasi diri, kemahiran komunikasi dan sebagainya.
Begitu juga sebagai doktor. Janganlah kita sekadar ditimbuni buku-buku perubatan, kerana di luar sana, terdapat banyak lagi ilmu-ilmu pengetahuan yang penting, menarik dan bermanfaat kepada kita. Bagi saya, buku yang bagus adalah apabila anda habis membacanya, anda merasakan pemandangan anda dulu begitu sempit, dan buku tersebut telah melapangkan pemikiran anda. Saya sudah banyak membaca buku-buku seperti tersebut.
Gambar: Antara buku dan majalah yang saya baca.
Bila mengingat kembali kenangan belajar di Rusia, bukannya berapa markah пять(markah A) yang saya perolehi, yang dikenang. Sebaliknya adalah segala masa dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan bersama kawan-kawan dulu. Segala perkara pelik dan luar biasa yang dilakukan. Segala perbezaan antara budaya Rusia dan Malaysia. Segala pemandangan menarik daripada Mamaev Kurgan hingga ke pemandangan suangai Volga sewaktu musim sejuk. Tiada nilai wang yang mampu membelinya.
Gambar: Sambut Hari Raya di depan Mamaev Kurgan.
Begitulah juga saya menyeru pembaca-pembaca di luar sana, supaya bukan sekadar menjadi seorang doktor/pekerja, sukan sekadar seorang pelajar, sebaliknya lakukanlah sesuatu di luar jangkauan diri. Biar susah dan takut, tapi akan tiba satu hari kita akan pandang balik ke belakang. Kenangan-kenangan inilah yang akan mengukir senyuman.

Amatilah iklan-iklan di blog ini. Jika tertarik, rajin-rajin klik-lah yer.
Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.