Salam
Dalam Facebook, saya banyak baca status junior-junior VolSMU yang baru mula bekerja bulan lepas. Ramai mengadu tentang layanan MO dan doktor pakar, tekanan kerja, benci on call dan sebagainya. Ada juga yang ‘cuba’ berfikiran positif menghadapi alam baru bekerja.
![]() |
Bergambar di depan sebuah masjid di Volgograd, Rusia. |
Walaupun sekarang saya sudah jadi HO penempatan ke-4, pre-call syndrome(benci hidup, berdebar-debar, tekanan emosi) tetap ada tetapi tidaklah seperti dulu. Harap junior-junior Volgograd semua boleh bertahan. Volgograd vperiooddd!! Uuurraahhh!!
SAYA DULU
Dulu awal- awal kerja, saya bukan seorang doktor yang cukup baik terhadap pesakit. Itu saya akui. Sesekali saya benarkan tekanan mental dan emosi mempengaruhi diri saya.
Yelah, awal dulu, terpaksa belajar banyak benda baru. Terkejar-kejar kerana lambat buat kerja. Tak termampu hendak menghafal kes walaupun sudah baca banyak kali. Pasang branula tak dapat-dapat. Tertekan bila melihat HO senior lain nampak senang saja buat kerja.
Akibatnya, kadang-kadang saya bercakap kasar dengan pesakit dan ahli keluarganya. Memperlekehkan aduan mereka. Marah pun ada tapi jarang. Itulah kesan tekanan kepada saya.
![]() |
Balik kerja, lihat pada langit memberi nafas kekuatan untuk bermuhasabah diri. |
HALANGAN
Keadaan juga tidak membantu, di mana di hospital kita akan jumpa berbagai ragam pesakit dan ahli keluarganya.
Ada yang memang bersikap dan bercakap kasar. Ada sekali, ahli keluarga diminta keluar kerana doktor mahu tengok pesakit. Anaknya berkata, “Apsal?! Nak buat ujikaji ker?!” dengan nada tidak puas hati. Kami semua terpinga-pinga.
“If something happens to my daughter, are you going to be responsible??!!” ugut seorang ibu kepada saya setelah meredah masuk bilik di Zon Hijau kerana lama menunggu. Anak beliau telah gugurkan kandungan tanpa pengetahuan ibunya.
“Saya bekerja di Kementerian Kesihatan, siapa nama doktor??!!” kata anak kepada seorang pesakit setelah saya tidak benarkan beliau memotong giliran. Saya angkat kad nama saya, tunjuk depan muka dia dan kata, “Nama saya Dr Azzad!!” tanpa rasa takut.
![]() |
Keluar bilik hendak pergi makan tengahari, terperasan ada asap tebal. |
![]() |
Rupanya ada bengkel kereta yang terbakar. |
KECEWA/PELIK
Saya juga kecewa melihat pesakit yang tidak mahu menolong diri sendiri. Akhirnya menyusahkan ahli keluarganya dan juga doktor. Telah diberi ubat, tidak mahu makan. Ubat sudah habis, bukannya hendak pergi ambil baru. Bila sudah sakit teruk barulah hendak datang.
Semasa ulcer masih kecil lagi, malas mahu datang ke hospital jumpa doktor. Bila kaki sudah gangrene nak kena potong, kata hendak pergi merawat dengan bomoh pula. Kaki sudah dipotong, masih mahu merokok lagi.
Bila batuk berdarah, pergi jumpa bomoh rawat santau. Bila sudah teruk sangat, datang jumpa doktor, tengok-tengok separuh paru-paru dah kena jangkitan Tuberculosis(batuk kering).
Pelik sungguh.
LINTASAN PARADIGMA
Sewaktu makan di restoran sekali tu, saya begitu marah dengan pelayannya yang kerja lambat, bersikap tidak sopan dan tidak menghormati saya sebagai pelanggan. Setelah sampai di bilik, perasaan marah masih membuak-buak dalam hati.
![]() |
Salah satu kedai saya kerap langgan. Bihun sup utaranya sedap. Tapi selepas banyak kali makan, jadi dah tidak sedap pula. |
![]() |
Di silingnya, terdapat gambar orang tua. Saya tanya tu gambar siapa? Tuk Kenali tuan kedai kata. Balik bilik, saya baca serba sedikit tentang Tuk Kenali di Wikipedia. |
Tiba-tiba ketika menggigit bantal, Allah telah lintaskan dalam fikiran saya sesuatu perkara. Bagaimana pula saya sebagai doktor? Adakah saya telah memberi layanan yang terbaik kepada pesakit saya?
Senang untuk saya mengadu tentang kerja orang lain. Tetapi apabila saya berada pada kedudukan yang memberi perkhidmatan, adakah saya menunjukkan kualiti yang baik?
PROGRAM TRANSFORMASI KERAJAAN
Apabila membaca secara ringkas Program Transformasi Kerajaan yang dicetuskan Perdana Menteri Dato’Seri Najib, saya agak teruja. Antara prinsip utama seperti penekanan terhadap kualiti kerja berintegriti, dan kenaikan pangkat atau jawatan berdasarkan kebolehan dan bukan senioriti adalah amat disokong.
Sektor perkhidmatan awam di Malaysia amat memerlukan suatu budaya kerja yang baru. Kita perlu mengikiskan imej tidak efisyen, birokratik dan kualiti perkhidmatan yang rendah.
Jadi saya berikhtiar untuk menjadi proaktif dan mula meningkatkan kualiti kerja saya sebagai doktor seiring dengan Program Transformasi Kerajaan.
BERUBAH
Jadi sejak bulan terakhir saya di A&E hingga ke penempatan di O&G sekarang, saya berazam cuba berikan khidmat terbaik sewaktu merawat pesakit. Nampak macam poyo-kan, tapi betul.
Saya cuba perbaiki kemahiran komunikasi saya dengan pesakit. Walau seletih tertekan mana pun, apatah lagi ketika waktu 3 pagi, saya cuba bercakap dengan baik dengan pesakit, menghormati mereka, beri perhatian pada setiap aduan dan pada masa yang sama efisyen dan cekap. Nampak macam senang, tapi sebenarnya susah(dalam hati, geram sangat dengan pesakit).
Saya akan akhiri perbualan dengan pesakit, dengan bertanya, “Puan ada apa-apa soalan?” Saya juga pastikan pesakit dimaklumkan tentang diagnosis mereka, kenapa saya berfikir sedemikian dan apa perancangan doktor terhadap pesakit. Ini adalah perkara yang sering dilupai oleh para doktor terutamanya Hospital Ampang dan HUKM. Ini berdasarkan pengalaman saya yang banyak menerima pesakit yang ‘lari’ke HKL dari sana, kerana tidak puas hati dengan rawatan diterima.
Ada ketikanya, saya akui saya ‘hilang kawalan’ juga. Tapi kita kena cekal dalam mengubah diri.
HASILNYA
Di Dubai Desert Safari. Rindu kehidupan lama. |
Dan satu perkara yang saya perasan, apabila saya memberi khidmat terbaik, di penghujungnya, saya merasai satu kepuasan dalam bekerja. Mana datangnya, tidak tahulah. Rasa seperti kita telah menyumbangkan sesuatu yang bermakna dalam kehidupan pesakit.
InsyaAllah saya akan terus cuba mengubah diri supaya menjadi seorang doktor yang lebih baik. Itu sahaja buat kali ini. Harap bermanfaat.
Kebelakangan ini, saya kurang berkesempatan untuk menulis kerana buat banyak on-call dan stayback. Jadi saya mengalu-alukan HO baru atau lama yang berminat berkongsi pengalaman anda di blog ini, supaya hubungi saya melalui emel atau Facebook.
Salam
Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.