Saturday 30 April 2011

PERHATIAN KEPADA PESAKIT

Salam,

SAKIT HATI

Dalam jangkamasa setahun setengah housemanship, sudah 4 kali saya telah kehilangan kasut. Dan 3 kali ianya berlaku di masjid. Membuatkan saya rasa jelik dengan sikap manusia. Tidak takut mencuri di rumah ibadat.

Anggaplah beli kasut baru sebagai hadiah lulus periksa medikal.


MANUSIA DAN BUMI

Saya ada ingat kata-kata Dr Rogov ketika belajar biologi tahun pertama dulu. Ada satu perkara sebenarnya yang mengganggu ekosistem bumi. Ianya adalah bidang perubatan.

Perubatan adalah pemusnah ekosistem, dimana 'membantu' manusia untuk hidup lebih lama daripada sepatutnya. Manusia yang hidup pasif, makan tidak terkawal, merokok dan mengamal segala tabiat negatif yang lain, ‘dibenarkan’ terus hidup. Akhirnya membawa kepada penambahan populasi, meningkatkan permintaan makanan, pembukaan penempatan baru dan berbagai masalah lain yang tiada penghujungnya.

Menjaga CCU(Coronary Care Unit) selama seminggu. Semua pesakit Myocardial
Infarction
dihantar ke sini.

Ini berbeza berbanding haiwan yang akan ‘dicantas’melalui pilihan semulajadi(natural selection).  Tiada belas kasihan. Ini satu sudut pandangan lain dalam melihat kesan perubatan moden terhadap manusia.

PESAKIT DAN DOKTOR

Semasa belajar biologi juga, kami diajar tentang evolusi hubungan doktor dan pesakit. Ada satu ketika pengamal perubatan dulu kala dianggap sebagai mempunyai kuasa ajaib malah ada yang dianggap sebagai Tuhan. Kemudiannya mereka dikaitkan dengan sihir dan dunia mistik.

Sewaktu bermulanya era sains, merawat pesakit dilihat sebagai suatu eksperimen bagi ahli sains. Kini doktor dianggap sebagai satu kerjaya yang mulia dan dipandang tinggi, membantu meringankan kesengsaraan pesakit. Namun di dunia moden sekarang, hubungan doktor-pesakit  telah berubah menjadi satu perkhidmatan, melibatkan transaksi antara wang dan khidmat.

Subuh di Hospital Kuala Lumpur.

Di hospital kerajaan di Malaysia, kita tersangkut di tengah-tengah antara hubungan menolong dan hubungan menjual perkhidmatan. Doktor sepatutnya sentiasa bersedia, ikhlas menolong, baik hati, sabar manakala sebaliknya pesakit pula meminta-minta, mengadu-ngadu dan menyaman-nyaman. Tetapi tidaklah semuanya begitu.

DUIT DAN KESIHATAN

Secara terus terang saya kata, struktur subsidi kerajaan dalam sistem kesihatan perlu diubah. Caj bayaran RM1 dan RM5 perlu diberhentikan.  Kerana ianya melahirkan sebahagian masyarakat yang bersikap acuh tak acuh terhadap kesihatan diri mereka.

Dunia perubatan telah berubah kepada falsafah pencegahan penyakit sebelum berlaku komplikasi(preventive medicine). Namun sebahagian masyarakat tidak menghargai malah tidak mengambil berat tentang kesihatan diri akibat mudahnya mendapat khidmat perubatan dan ubat di hospital kerajaan.

Membantu seorang pharmacist menukar tayarnya - tanpa bayaran.

Sebaiknya subsidi kesihatan harus disalurkan pada golongan yang benar-benar memerlukan iaitu golongan yang miskin(bukan semua). Struktur subsidi yang efisyen akan membolehkan sebahagian besar bajet dibelanjakan untuk menaikkan taraf kemudahan dan kelengkapan hospital(terutamanya HKL). Ianya juga akan melahirkan masyarakat yang mengamalkan budaya hidup sihat dan peka tentang penyakit mereka.

PESAKIT DAN MENTAL

Masih ingatkan Vietnam.
Saya berpendapat, bidang perubatan perlu melihat masalah mental sebagai antara cabang utama dalam membentuk kesihatan masyarakat. Urbanisasi dan gaya hidup moden membawa faktor baru dalam kehidupan seharian kita seperti tekanan kerja yang tinggi, jangkaan melampau sosial(social expectation) dan sebagainya.

Sekelompok manusia yang kerap doktor perlu hadapi kini adalah golongan pencari perhatian(attention-seekers). Kebanyakan mereka terdiri daripada wanita, mereka yang tidak berkahwin, mereka yang tidak mendapat perhatian daripada hubungan mereka. Manusia secara lumrahnya perlukan perhatian. Daripada memperbesar-besarkan tanda-tanda sakit, menipu-nipu, membuat kecoh dan ada yang sehingga mengugut doktor jika tidak memberikan ubat atau sesuatu mengikut kehendaknya.

DOKTOR SENGSARA

Ada satu kes yang kami suspek pesakit menunjukkan Munchausen Syndrome. Setelah keluar masuk hospital di Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru; dan tidak dilayan seperti dikehendaki, akhirnya beliau ‘mendarat’di Hospital Kuala Lumpur. Hampir 2 minggu jururawat dan doktor ‘sengsara’ menjaganya. Dijerit-jerit, dimaki hamun(doktor pakar perunding juga tidak terkecuali), ditarik nametag, menekan loceng panggilan setiap 15 minit, mengugut pecahkan cermin, membuat laporan polis terhadap jururawat dan doktor kerana layanan yang tidak bagus dan bermacam lagi. Kami berada di dalam keadaan serba salah dengan tanggungjawab moral dan ugutan saman.
Tanda-tanda awal pencari perhatian. Senyum berlebihan.

Akhirnya setelah bekerjasama dengan pihak hospital di JB, kami mendapati tiada bukti yang menunjukkan pesakit mempunyai endometriosis stage 4 menyebabkan sakit perut seperti didakwanya. Setelah pakar perunding berhadapan dengan pesakit berkenaan fakta tersebut, beliau membuat keputusan untuk keluar hospital.

SAYA DAN PERUBATAN

Melihatkan hubungan pesakit dan doktor kini, pembaca perlu berfikir 2 kali sebelum membuat keputusan menjadi doktor. Pesakit metropolitan Kuala Lumpur ni sebahagian besarnya seperti bukan pesakit sebaliknya penyakit.

Disebabkan itu, saya pertimbangkan setelah tamat housemanship, untuk berpindah dan bekerja di Sabah dan Sarawak, kerana saya dengar cerita, orang disana baik belaka. Tidak seperti di Semenanjung.  Orang juga kata wanita-wanita di sana cantik dan lemah lembut. Doktor-doktor yang bekerja di pedalaman sesetengahnya dianggap seperti bomoh oleh orang tempatan. Betul ke??
Adakah Sabah seperti Vietnam?
Sewaktu saya bekerja atas panggilan, seorang makcik Cina tua dimasukkan ke wad pada pukul 3 pagi disebabkan Community-acquired Pneumonia. Saya yang tidak cukup tidur dengan badan berpeluh bertanya, “Makcik dah susah nafas berapa hari?” “Sudah tiga hari.” Darah menyirap satu badan, kenapalah pagi buta ni makcik baru nak datang hospital . Tiba-tiba, sambil pandang saya dengan wajah sugul, terpacul dari mulut makcik, “Doktor............. anak saya kata..........lebih baik saya mati.................. .”
Berlegar-legar di koridor hospital pada pukul 3 pagi.
Sunyi saja.

Hhmmmm. Mendengar kata-kata tersebut terus sejuk hati saya, tidak jadi hendak marah. Pada malam tersebut saya pastikan saya layan dan beri perhatian kepada makcik tersebut sebaik mungkin.


Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.