Saturday 19 February 2011

JABATAN PERUBATAN AM

Salam

SIBUK

Sudah sebulan saya berada di Jabatan Perubatan Am. Tema hidup kini adalah ‘Sibuk, sibuk dan sibuk.’ Walaupun jaga pesakit 10 orang sahaja beberapa minggu lepas, tetapi kerjanya tiada henti. Habis satu kerja, datang kerja yang lain.

Zaman belajar dulu tidaklah sibuk.
Penting untuk bekerja dengan tersusun di sini supaya kerja dapat dilaksanakan dengan baik. Maka selepas round pagi doktor pakar, saya akan senaraikan pada sehelai kertas semua kerja dan prosedur yang perlu dibuat. Di jabatan lain, saya hanya ingat di kepala sahaja sudah cukup.

ATURAN

Untuk penempatan Perubatan Am di HKL, doktor perubatan siswazah akan ditempatkan selama 2 bulan di wad lelaki dan 2 bulan di wad perempuan. Selain itu di dalam jangkamasa tersebut, kita juga akan diletakkan di peripheries selama sebulan seperti di Coronary Care Unit(CCU), Coronary Rehabilitation Ward(CRW), High Dependency Ward(HDW), wad geriatrik, wad stabil dan juga di physician clinic(PC).

Rindu Vietnam.
Saya telah memohon kepada Abg Fazli Rambut Panjang(pengurus Peg Perubatan Siswazah di Jabatan Perubatan Am) supaya meletakkan saya di CCU kerana ianya tampak mencabar dan juga di PC supaya saya dapat pendedahan sebelum membuat locum kelak(duit-duit-duit).

Sekali ketika saya ke pejabat untuk menguruskan sesuatu, Fazli menyambut dengan kata, “Saya sayang?.... saya sayang?...” seperti suruh saya menghabiskan ayat. Saya yang terpinga-pinga pun menjawap, “..sayang menyayang?!” Rupanya beliau merujuk kepada artikel blog saya yang lepas. “Saya sayang sate laksa laaahhh.” Lepas tu gelak seorang.


BEZANYA

Bekerja di Jabatan Perubatan Am benar-benar membuka mata saya tentang pelbagai jenis penyakit yang wujud di muka bumi ini. Kerana kita terdedah dengan pelbagai jenis penyakit yang setiapnya memerlukan pelan rawatan yang tersendiri. Daripada penyakit yang kerap jumpa seperti Hypertensive urgency dan Uncontrolled Diabetes Mellitus hinggalah ke yang jarang dijumpa seperti Bell’s palsy, Elephantiasis dan Horner's syndrome, kita perlu tahu apa yang perlu ‘dicari.’

Apakah ini??!!
Bagusnya ini menyebabkan saya lebih banyak rajin membaca kebelakangan ini. Ini sangat berbeza berbanding penempatan yang lain. Saya sudah mula cetak kebanyakan Clinical Practice Guidelines dan membacanya.

MATI AKAL

Namun kadang-kadang tu, kita sendiri tidak tahu apa penyebab/penyakit  kepada tanda-tanda yang ada pada seorang pesakit. Selepas beberapa hari, tanda-tandanya menjadi semakin pelik. Keesokan paginya datang kerja, perasan pesakit sudah tiada di wad. Beliau telah meninggal setelah membentuk severe metabolic acidosis.

Ada kes pula, pesakit datang pada waktu petang dengan hanya mengadu rasa letih. Tengok-tengok sel darah putih meningkat sehingga White Blood Cell – 510. Full blood picture segera menunjukkan beliau ada Chronic Myeloid Leukaemia. Keesokan paginya menghadapi sesak nafas dan meninggal. Kami suspek beliau mendapat Tumour Lysis Syndrome. Begitu cepat perubahan berlaku pada pesakit.

Sampel darah pesakit tersebut di dalam tiub EDTA.
Boleh dilihat satu lapisan sel darah putih terapung.

SENIORITA

Bagusnya di sini, saya dapat banyak melakukan prosedur seperti lumbar puncture, bone marrow aspiration, peritoneal tapping dan sebagainya. Malah saya dapat intubate seorang pesakit dengan Mallampati Class 4.
Langit di Volgograd, Rusia.

Malah memandangkan saya sudah senior penempatan ke-5, MO lebih mempercayai saya. HO muda yang lain juga merujuk pada saya dan senior lain bila bertanya atau memerlukan bantuan. Maka saya pun mengambil kesempatan menambah pahala dengan mengajar mereka. Ambil kesempatan!

KATA HATI

Dato’Jeya(ketua jabatan) sewaktu perjumpaan dengan HO ada bertanya, “Among you all, who really wants to become a doctor?” Beliau terkejut apabila hanya 4-5 orang yang mengangkat tangan di kalangan 40 HO di situ. Beliau membuat kesimpulan bahawa kebanyakan daripada kami tiada niat pun ingin menjadi doktor. Saya tidak mengangkat tangan.

Namun persoalan bermain di fikiran saya seketika. Saya percaya ramai di kalangan kami yang berminat menjadi doktor sebenarnya, namun suasana dan keadaan kerja di hospital kerajaan di Malaysia yang telah berjaya melunturkan cita-cita kami dan menjadikan kerja ini hanya sekadar mencari makan.
Penghalang perubahan persekitaran kerja
doktor perubatan siswazah di Malaysia?
Penghalang perpaduan umat Islam di Malaysia?
Mungkin satu hari nanti saya akan menulis dengan panjang lebar berkenaan perkara ini.

ILTIZAM

Apa-apapun sekarang ini, saya sedang berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan juga pelan rawatan saya ke tahap MO memandangkan saya akan menjadi MO tidak lama lagi. Dan suatu hari nanti, jika hati saya masih berminat, saya akan berusaha menjadi seorang doktor pakar.

Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu? Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu. Yang memberati tanggunganmu,? Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu? Oleh itu, maka bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai, maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha, Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon. (Ash-Syar-h 94:1-8)

Patutkah saya memilih jalan lain?
Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Tuesday 1 February 2011

ERTI HIDUP PADA MENYUMBANG

Salam

PERBICARAAN TV

Ada sekali saya menonton sebuah rancangan perbicaraan di TV1, membincangkan mengenai perubahan iklim dunia. Di mana salah seorang ahli panelnya adalah seorang pemuda. Beliau telah menubuhkan sebuah organisasi memperjuangkan ‘isu hijau’ sewaktu menuntut di universiti lagi. Beliau baru sahaja tamat belajar.

Berkesempatan makan malam bersama kawan lama sewaktu di SMKTUN, Skudai dulu.
Ramai juga yang telah berhijrah ke Lembah Klang.

Pastinya membuatkan saya kagum adalah semangat perjuangan yang sudah ada pada usia muda lagi. Sebenarnya pada pendapat saya, keinginan untuk menyumbang itu perlu ada pada setiap individu.

POLITIK KOTOR

Senario politik di negara agak menyedihkan. Budaya saling menuduh, memburukkan, menyalahkan dan memfitnah sudah menjadi kebiasaan. Malah ada yang sanggup ke luar negara memburukkan negara sendiri. Ini semata-mata kerana kuasa.

Politik kotor menjana kegelapan.
Akibatnya kebencian yang disemai melahirkan rakyat yang ‘pandai’ menyalahkan kerajaan dan meminta-minta apabila terdapat 'kekurangan.'

MEMBINA NEGARA

Membina negara memerlukan rakyat yang proaktif dan berkeupayaan(modal insan yang tinggi). Malah pada hemat saya, itulah kriteria utama untuk membina negara supaya maju, kaya dan makmur.

Jika kita inginkan negara yang bersih seperti Jepun, maka kita sebagai rakyat harus bersikap bertanggungjawab dalam membuang sampah, di samping kerajaan perlu menyediakan tong sampah di kawasan strategik. Jika mengharapkan kerajaan semata-mata pun boleh, di mana undang-undang yang sangat ketat dikenakan. Namun sebaik keluar dari negara mereka, mereka lagi ‘menang’ dalam membuang sampah dan melanggar undang-undang jalanraya seperti rakyat Singapura. Itu bukan yang kita mahu.
Belilah barangan buatan Malaysia.
Begitu juga  dalam membina bangsa, kita juga perlu berusaha dengan cekal dan bersatu padu, dan bukan mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.

DI BAWAH LANGIT, DI ATAS BUMI

Di dalam artikel saya dulu, saya ada pernah sebut bahawa sedang mengusahakan sebuah projek. Alhamdulillah ianya telah mula bergerak.

Dalam proses menjayakannya, ada masanya putus semangat, tidak dapat berjumpa pengarah HKL kerana beliau sibuk, saya pun sibuk dengan kerja sendiri, curi-curi masa berjumpa dan bekerjasama dengan unit kaunseling(setelah diarahkan pengarah), tertangguh-tangguh berbulan-bulan dan akhirnya berlangsunglah juga program pertama kami.

Perbincangan post-mortem bersama dari kiri Yani(pelajar kaunseling), Pn Ruhana(kaunselor)
dan Cik Arni(kaunselor). Pn Ruhana kata Pengarah HKL masa mesyuarat pentadbiran pagi tu sibuk
bertanya berkenaan aktiviti kami yang berlangsung semalam. Siap suruh buat
kertas kerja rasmi untuk dapat peruntukan. Yeeehhaaaa!

Program ‘Di Bawah Langit, Di Atas Bumi’ dibentuk berlandaskan satu hypothesis bahawa kemelut sosial generasi muda adalah disebabkan kematangan seksual telah mengatasi dan menindas kematangan intelektual individu. Maka program ini cuba merangsang kematangan intelektual anak-anak lebih awal, dengan mendedahkan mereka realiti kehidupan pada usia muda, dan mengajar tentang nilai-nilai yang akan membantu mereka(seperti mempunyai cita-cita, hidup sebuah perjuangan, nikmat ilmu dan sbgnya).

Aktiviti pertama kami bersama Dr Izat dan Cik Wan(kaunselor). Anak-anak
yang sukar tumpukan perhatian.

Banyak perkara yang perlu dibaiki daripada aktiviti pertama. Memerlukan modul
yang tersusun dan penggunaan kata-kata yang mudah difahami antara
yang kami dapat simpulkan.

Dengan mengadakan program di persekitaran harian anak-anak, dijangka deria dan minda mereka lebih mudah untuk menerima apa yang cuba disampaikan(maka nama program diberikan “Di Bawah Langit, Di Atas Bumi”).

Berharap ianya dapat membentuk generasi muda yang mempunyai jati diri yang kukuh di masa hadapan.

ANJAKAN MINDA
Mencari ilham di Sungai Mekong.
Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-Baqarah 2:148)
Saya menyeru semua rakyat Malaysia agar hentikan mentaliti membangkang, sebaliknya berinisiatif menyumbang sesuatu kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Segala perubahan kecil atau besar bermula dengan perubahan diri dan bukan orang lain. Inginkan negara yang bebas rasuah, ubah diri anda. Inginkan negara yang bersatu padu, ubah diri anda dahulu.

Di sebalik rusuhan yang sedang berlaku di Mesir dan Tunisia, saya berharap Malaysia akan terus maju, aman dan makmur.

Anwar Ibrahim - hari beliau menjadi Perdana Menteri adalah
hari saya akan aktif berpolitik.
Harap segala kebajikan akan menghapuskan segala dosa.
Salam 1Malaysia.


Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.