Sunday 28 November 2010

MENGHADAPI CABARAN HIDUP

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" Surah Ankabut 29:2
Lumrah kehidupan manusia, pastinya kita akan menghadapi tekanan, cabaran dan ujian dari semasa ke semasa. Dan saya perasan, setiapnya akan mencetus permainan emosi di dalam diri saya. Dan juga saya percaya bahawa sebenarnya tiada halangan untuk kita mencapai kejayaan, bukan kemiskinan, kesusahan, kesempitan masa dan sbgnya, melainkan emosi diri.

PWTC tanda mercu UMNO dari balkoni rumah saya. Dan tidak
lupa langit biru di belakang.

Jika kita dapat mendisiplinkan diri dan mengatasi emosi, maka dunia adalah ‘milik’ kita. Tiada rasa malas, tiada rasa takut bertanya, tidak mudah puas hati, tidak pula tamak, tidak mudah putus asa dan sbgnya.

BENCI

Pada suatu pagi di wad bersalin, saya, setelah diberitahu oleh kawan, telah silap membaca CTG(cardiotocography) seorang pesakit. Pesakit tersebut telah dihantar ke bilik pembedahan untuk Cesarean section atas indikasi fetal distress(bayi lemas).

Saya terkejut dan atas dasar bertanggungjawab, pergi ke sana untuk membantu MO membuat pembedahan. Tiba di OT, seorang HO lain sudah bersedia untuk assist dan diberitahu MO X akan membuat pembedahan. Saya benci MO X. MO X suka marah HO sesuka hati dia mengikut angin.

“Azzad, kau nak assist tidak? Aku tidak kisah kalau kau taknak?” tanya kawan saya.  Saya berdiri pegun di situ hampir seminit. Dalam fikiran saya, “Sekarang ni, aku memang nak assist pembedahan pesakit aku. Tapi aku takut sebab MO X yang akan buat.” Saya beritahu diri saya, “Aku boleh lari dan biarkan kawan yang bantu. Tapi aku tidak akan boleh lari selama-lamanya. Atau aku boleh hadapinya dan juga menjadi doktor yang bertanggungjawab terhadap pesakit.”

Inilah rupa muka HO Dr Nirmala dan Dr Zamri ketika melihat jadual oncall.
Kadang-kadang tu boleh termenung sampai 5 minit lamanya.

Saya buat keputusan untuk scrub in. Bayi keluar menangis, dengan Apgar score yang baik. Cord blood pH 7.309. Bagi saya pH sedemikian terlalu bagus untuk fetal distress, meyakinkan saya bahawa saya tidak salah baca CTG pesakit tersebut.

Keesokan harinya, saya bertugas untuk Pembedahan Elektif. Rupanya MO X jugalah yang menjadi doktor bedah hari itu. Memang benarlah, kita tidak akan dapat lari daripada perkara yang kita benci selama-lamanya.

ANGKUH

“Youuuu, you are arrogant. I gave you a chance. I thought you’d change!!”, Dr Nathan jerit pada saya ketika round pagi di LR secara tiba-tiba. Saya terkejut. Kawan-kawan lain juga terpinga-pinga. Kenapa dia berkata sedemikian, tidak perlulah saya cerita.

Walaupun kadang-kadang apa yang orang kata tentang kita tidak betul, adalah baik untuk kita selidik kata-kata tersebut. Mungkin ada kebenarannya walaupun kecil. Mungkinkah ada keangkuhan dalam diri saya?

Rupa wad bersalin di HKL.

Sangat berbeza kalau hendak dibandingkan dengan bilik
bersalin di Rusia.

Maka saya ingatkan diri supaya sentiasa berkeyakinan dan pada masa yang sama rendah diri. Saya paksakan diri supaya mengajar dan memberi dorongan pada 1st poster lain. Ingatkan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang saya ada, hanyalah pinjaman.

KECEWA

Pada suatu malam sewaktu 2 pagi, ketika saya on call, berlaku satu perkara yang menjadi pengalaman penting bagi saya. Seorang pesakit dengan Placenta Previa berdarah dengan teruk, tidak berhenti. Kalau dalam buku ada menggunakan istilah ‘berdarah seperti  air paip(tap water)’, maka inilah contohnya. Darah keluar dari faraj pesakit memancut.

Pada saat itu, saya perlu berada pada tahap terbaik. Namun mengecewakan, di saat genting saya tidak dapat memasang branula dan tidak dapat mengambil darah dengan secukupnya. Sehinggakan MO saya yang terpaksa melakukannya. Di OT juga, saya teragak-agak memasang CBD(continuous bladder drainage) pada pesakit(almaklumlah pesakit perempuan).

Saya benar-benar kecewa dengan diri saya. Mungkinkah saya telah hilang kebolehan di Jabatan Kecemasan dulu? Kekecewaan adalah lumrah. Saya tanamkan dalam minda saya supaya jangan terlalu mengimbau apa yang berlaku, sebaliknya jadikannya sebagai pembakar semangat supaya memberikan yang terbaik pada masa hadapan.

Bersembang dengan orang yang berlainan latar belakang membuka
minda kita. En Azman yang pernah teruk terkena tempias Krisis Ekonomi Asia '97
dan Omair pelajar MBA di UM dari Pakistan.

Maka berlakulah satu lagi kecemasan obstetrik(obstretric emergency) minggu lepas. Seorang pesakit mengalami PPH(post partum hemorrhage) secondary to uterine atony di wad. Saya hadir dan urus pesakit. Saya arah jururawat buat ini dan itu, saya buang darah beku, buat fundal massage dan pasang branulla cepat, masukkan larutan crystalloid dan oxytoxin. Apabila MO saya tiba, beliau arah benda yang sama. Saya dan jururawat kata semua kami dah buat. Yeeaaa yeeaaa!!

Walaupun postcall ketika itu, saya balik dengan hati gembira.

TEKANAN

Saya ada berjumpa dengan ramai pembaca blog saya di tempat kerja. Ada yang kata, “Your blog inspired me.” “Inspired youuu??!!!” saya balas. Ada ketika saya hanya lalu lalang, tiba-tiba, dari jauh seorang HO tanya, “Eh kau ada tulis blog heh?” Saya senyum dan angguk. Dia angkat tangan dan tunjuk ibu jari ke atas.

Bayi ini mengingatkan saya pada patung matriushka di Rusia.

Waahh rasa seronok juga orang kenal kita rupanya. Tetapi tiba-tiba saya berasa canggung pula ketika kerja. Tiba-tiba tekanan menimpa diri. Yelah, di blog cerita saya intubate-lah, rawat pesakit MI, buat CPR dan sebagainya, kononnya macam hebat. Tulis macam bagus sangat saya ni. Manalah saya hendak tahu akhirnya pembaca blog saya akan bekerja dengan saya.

Mulalah rasa cuak bila bentang kes pada MO dan doktor pakar, pasang branulla, jawap soalan MO dan sebagainya. Malunya kalau tidak tahu atau branulla tak masuk. Tulah berlagak lagi. Namun saya berazam untuk menjadikan tekanan ini sebagai sesuatu yang positif, agar memaksa saya untuk bekerja keras lagi.

Bayi ini mahu menjadi angkasawan bila besar nanti.
Namun program angkasawan negara diberhentikan kerana
ianya membazirkan wang rakyat.
Disebabkan itu jugalah, saya cuba sejak akhir-akhir ini menunjukkan kekurangan dalam diri sebagai doktor dalam artikel-artikel saya. Sedikit sebanyak mengurangkan jangkaan orang terhadap saya. Supaya gadis-gadis di luar sana tidak terlalu kagum dengan saya. Hahaha. Dan juga, kerana itulah dunia realiti, tiada sesiapa yang sempurna.

DILEMA

Buku yang saya sedang baca kini, berkisar tentang
perspektif kehidupan dari sudut humanisma barat.
Dan sekarang saya ada tekanan baru. Sedang saya mengisi laporan pembedahan ke dalam komputer, tiba-tiba terdengar, “So Azzad, I heard you have a blog?” Dr Janani MO bertanya. “So you have a lot of free time to write a blog hah?” “OOhhh maannn.”


Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Wednesday 10 November 2010

HIDUP DOKTOR BAGAIKAN RODA

Salam

KATA ORANG

Kata orang hidup bagaikan roda. Memang ada benarnya. Begitu juga hidup sebagai doktor.

Seminggu lepas, semasa ward round, Dr Haliza MO O&G berkata kepada semua HO, "You all should be like Azzad. Be as hardworking as he is." "Woooww," kata kawan sambil melirik mata pada saya. Saya juga sambut dengan, "Wooowww." Dr Haliza sengih-sengih.

Satu, bukan selalu saya dapat pujian. Dan pujian kali ini bukan seperti biasa. Ia membuat saya merenung betapa jauh saya telah jangkau sebagai HO. Mengingatkan saya bahawa segala kesusahan yang saya hadapi sebelum ni ada kesan positifnya.

Kali pertama hantar pesakit ke hospital lain, yakni Hospital Ipoh.
Selalunya hospital lain hantar ke HKL.

Rupanya Ipoh ni tiadalah jauh sangat dari KL.
2 jam saja.
Sempat jumpa kawan lama Dr Muhanna(Hosp Ipoh).
Muhanna belanja kami semua makan
di Restoran Nasi Kandar Vanggey.

Namun saya tahu perasaan ini tidak akan tahan lama, kerana hidup doktor bagaikan roda.

Baru saja beberapa minggu lepas, saya telah dicaci, dimaki hamun dan dicerca oleh MO saya sewaktu bertugas di klinik. Hanya disebabkan kesalahan kecil, saya telah dimalukan, didakwa lebih lemah daripada HO first poster di depan pesakit saya, MO dan HO lain.

Jujur saya kata, tidak pernah saya rasa begitu teruk dan malu. Saya kawal diri saya, selesaikan urusan pesakit dan kemudian bawa diri ke bilik air. Saya post call hari tu, letih dan dilayan sedemikian rupa.

SHRINK

Hari Ahad, jika saya tidak bekerja atas panggilan, selalunya saya akan beli suratkhabar New Straits Times. Dalam sisipan Life and Times, ada satu ruang karangan Tessie Lim yang sedikit sebanyak membantu saya menghadapi kehidupan sebagai HO.

Dalam salah satu artikelnya, beliau mendeskripsikan sesetengah ketua (MO atau doktor pakar) dengan tepat. Yakni mereka yang memilih cara memaki hamun untuk memperbetulkan kesalahan orang lain adalah mereka yang tidak mempunyai keyakinan diri(insecurity). Mereka tidak mampu membawa diri sebagai contoh kepada yang lain.

Kuasa jahat bertemu kuasa baik.
Dan masalahnya pada kita yang berada di keliling orang berkenaan, yang juga pihak authoritatif terhadap kita, adalah kita membenarkan segala kenyataan yang keluar dari mulut mereka, mendefinisikan siapa diri kita. Walhal sepatutnya, kitalah yang menentukan siapa diri kita. Jika anda mengamalkan ‘petua’ ini, anda tidak akan takut pada mereka lagi. Hehe.

EMOSI DOKTOR

Emosi doktor bukan sekadar berkisar pekerjaan. Doktor juga manusia.

Sewaktu datang ke rumah Dr Izat di Kajang ketika pertunangan beliau, tiba-tiba saya dan Dr Khalid diserbu makcik-makcik beliau. Ingin bertanyakan adakah tuan badan sudah berpunya? Haha.

Setelah dilontar pelbagai soalan, di penghujungnya saya mengeluh, “Yang kita nak, taknak pada kita. Yang kita taknak, nak dekat kita.” Nenek Izat cuba memujuk, “Takpelah, itu ketentuan qada dan qadar.”

Dr Aizudeen(tengah). Air yang tenang,
jangan sangka tiada buaya.
Dr Judin dan tunangnya.
Begitu juga apabila Dr Aizudeen(HUKM) tiba-tiba mengirim SMS mengatakan beliau akan bertunang. Angin tidak bertiup, hujan tidak turun, tiba-tiba senang-senang saja Judin sudah hendak bertunang.

Walaupun gembira melihat rakan-rakan memasuki fasa seterusnya dalam hidup, namun ianya menyebabkan saya memikir apalah yang hendak jadi dengan saya ni. Tiada progres langsung.

ADUAN

Bertambah buruk lagi, Saya telah terima dua aduan dalam masa dua minggu ini. Satu daripada jururawat dan satu daripada seorang pesakit.

Pesakit mengadu layanan yang kurang baik oleh saya terhadap beliau. Akhirnya saya secara sukarela menelefon pesakit dan meminta maaf. Beliau turut meminta maaf kerana rasakan mungkin ketika itu beliau sedikit emosional dan memahami keadaan saya yang kurang tidur pada awal pagi.


Melihat bayi sedikit sebanyak menghilangkan tekanan kerja.
Harap saya dapat perbaiki diri.

Benarlah, hidup doktor bagaikan roda. Dan kini saya sedang berada di bawah. 
Harap ada bidadari yang sudi selamatkan saya.

Salam


Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.