Wednesday 27 October 2010

DOKTOR BERUBAH

Salam

Dalam Facebook, saya banyak baca status junior-junior VolSMU yang baru mula bekerja bulan lepas. Ramai mengadu tentang layanan MO dan doktor pakar, tekanan kerja, benci on call dan sebagainya. Ada juga yang ‘cuba’ berfikiran positif menghadapi alam baru bekerja.

Bergambar di depan sebuah masjid di Volgograd, Rusia.
Walaupun sekarang saya sudah jadi HO penempatan ke-4, pre-call syndrome(benci hidup, berdebar-debar, tekanan emosi) tetap ada tetapi tidaklah seperti dulu. Harap junior-junior Volgograd semua boleh bertahan. Volgograd vperiooddd!! Uuurraahhh!!

SAYA DULU

Dulu awal- awal kerja, saya bukan seorang doktor yang cukup baik terhadap pesakit. Itu saya akui. Sesekali saya benarkan tekanan mental dan emosi mempengaruhi diri saya.

Yelah, awal dulu, terpaksa belajar banyak benda baru. Terkejar-kejar kerana lambat buat kerja. Tak termampu hendak menghafal kes walaupun sudah baca banyak kali. Pasang branula tak dapat-dapat. Tertekan bila melihat HO senior lain nampak senang saja buat kerja.

Akibatnya, kadang-kadang saya bercakap kasar dengan pesakit dan ahli keluarganya. Memperlekehkan aduan mereka. Marah pun ada tapi jarang. Itulah kesan tekanan kepada saya.

Balik kerja, lihat pada langit memberi nafas kekuatan untuk
bermuhasabah diri.
HALANGAN

Keadaan juga tidak membantu, di mana di hospital kita akan jumpa berbagai ragam pesakit dan ahli keluarganya.

Ada yang memang bersikap dan bercakap kasar. Ada sekali, ahli keluarga diminta keluar kerana doktor mahu tengok pesakit. Anaknya berkata, “Apsal?! Nak buat ujikaji ker?!” dengan nada tidak puas hati. Kami semua terpinga-pinga.

“If something happens to my daughter, are you going to be responsible??!!” ugut seorang ibu kepada saya setelah meredah masuk bilik di Zon Hijau kerana lama menunggu. Anak beliau telah gugurkan kandungan tanpa pengetahuan ibunya.

“Saya bekerja di Kementerian Kesihatan, siapa nama doktor??!!”  kata anak kepada seorang pesakit setelah saya tidak benarkan beliau memotong giliran. Saya angkat kad nama saya, tunjuk depan muka dia dan kata, “Nama saya Dr Azzad!!” tanpa rasa takut.

Keluar bilik hendak pergi makan tengahari, terperasan ada
 asap tebal.
Rupanya ada bengkel kereta yang terbakar.

KECEWA/PELIK

Saya juga kecewa melihat pesakit yang tidak mahu menolong diri sendiri. Akhirnya menyusahkan ahli keluarganya dan juga doktor. Telah diberi ubat, tidak mahu makan. Ubat sudah habis, bukannya hendak pergi ambil baru. Bila sudah sakit teruk barulah hendak datang.

Semasa ulcer masih kecil lagi, malas mahu datang ke hospital jumpa doktor. Bila kaki sudah gangrene nak kena potong, kata hendak pergi merawat dengan bomoh pula. Kaki sudah dipotong, masih mahu merokok lagi.

Bila batuk berdarah, pergi jumpa bomoh rawat santau. Bila sudah teruk sangat, datang jumpa doktor, tengok-tengok separuh paru-paru dah kena jangkitan Tuberculosis(batuk kering).

Pelik sungguh.

LINTASAN PARADIGMA

Sewaktu makan di restoran sekali tu, saya begitu marah dengan pelayannya yang kerja lambat, bersikap tidak sopan dan tidak menghormati saya sebagai pelanggan. Setelah sampai di bilik, perasaan marah masih membuak-buak dalam hati.

Salah satu kedai saya kerap langgan. Bihun
sup utaranya sedap. Tapi selepas banyak kali makan,
jadi dah tidak sedap pula.

Di silingnya, terdapat gambar orang tua. Saya tanya tu gambar siapa?
Tuk Kenali tuan kedai kata. Balik bilik, saya baca serba sedikit tentang
Tuk Kenali di Wikipedia.

Tiba-tiba ketika menggigit bantal, Allah telah lintaskan dalam fikiran saya sesuatu perkara. Bagaimana pula saya sebagai doktor? Adakah saya telah memberi layanan yang terbaik kepada pesakit saya?

Senang untuk saya mengadu tentang kerja orang lain. Tetapi apabila saya berada pada kedudukan yang memberi perkhidmatan, adakah saya menunjukkan kualiti yang baik?


PROGRAM TRANSFORMASI KERAJAAN

Apabila membaca secara ringkas Program Transformasi Kerajaan yang dicetuskan Perdana Menteri Dato’Seri Najib, saya agak teruja. Antara prinsip utama seperti penekanan terhadap kualiti kerja berintegriti, dan kenaikan pangkat atau jawatan berdasarkan kebolehan dan bukan senioriti adalah amat disokong.

Sektor perkhidmatan awam di Malaysia amat memerlukan suatu budaya kerja yang baru. Kita perlu mengikiskan imej tidak efisyen, birokratik dan kualiti perkhidmatan yang rendah.

Jadi saya berikhtiar untuk menjadi proaktif dan mula meningkatkan kualiti kerja saya sebagai doktor seiring dengan Program Transformasi Kerajaan.

BERUBAH

Jadi sejak bulan terakhir saya di A&E hingga ke penempatan di O&G sekarang, saya berazam cuba berikan khidmat terbaik sewaktu merawat pesakit. Nampak macam poyo-kan, tapi betul.

Saya cuba perbaiki kemahiran komunikasi saya dengan pesakit. Walau seletih tertekan mana pun, apatah lagi ketika waktu 3 pagi, saya cuba bercakap dengan baik dengan pesakit, menghormati mereka, beri perhatian pada setiap aduan dan pada masa yang sama efisyen dan cekap. Nampak macam senang, tapi sebenarnya susah(dalam hati, geram sangat dengan pesakit).

Saya akan akhiri perbualan dengan pesakit, dengan bertanya, “Puan ada apa-apa soalan?” Saya juga pastikan pesakit dimaklumkan tentang diagnosis mereka, kenapa saya berfikir sedemikian dan apa perancangan doktor terhadap pesakit. Ini adalah perkara yang sering dilupai oleh para doktor terutamanya Hospital Ampang dan HUKM. Ini berdasarkan pengalaman saya yang banyak menerima pesakit yang ‘lari’ke HKL dari sana, kerana tidak puas hati dengan rawatan diterima.

Ada ketikanya, saya akui saya ‘hilang kawalan’ juga. Tapi kita kena cekal dalam mengubah diri.

HASILNYA

Di Dubai Desert Safari. Rindu kehidupan lama.
Dan satu perkara yang saya perasan, apabila saya memberi khidmat terbaik, di penghujungnya, saya merasai satu kepuasan dalam bekerja. Mana datangnya, tidak tahulah. Rasa seperti kita telah menyumbangkan sesuatu yang bermakna dalam kehidupan pesakit.

InsyaAllah saya akan terus cuba mengubah diri supaya menjadi seorang doktor yang lebih baik. Itu sahaja buat kali ini. Harap bermanfaat.

Kebelakangan ini, saya kurang berkesempatan untuk menulis kerana buat banyak on-call dan stayback. Jadi saya mengalu-alukan HO baru atau lama yang berminat berkongsi pengalaman anda di blog ini, supaya hubungi saya melalui emel atau Facebook. 

Salam


Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Wednesday 6 October 2010

PINDAH RUMAH DAN JABATAN

Salam
Banyak perkara yang berlaku beberapa minggu ni. Namun alhamdulillah saya dapat melaluinya dengan baik. Seperti yang diberitahu sebelum ini, saya kini sudah berada di O&G.
Bayi yang ditinggalkan ibu tidak bersuami.
Kasihan. Bila bosan, saya kacau-kacaulah dia.




PINDAH

Saya baru pindah keluar dari asrama doktor pelatih HKL. Dapat panggilan daripada Pn Suria, diminta keluar dengan kadar segera kerana ramai HO baru yang akan masuk katanya. Ingatkan hendak guna kabel supaya boleh terus tinggal, tapi kabel tidak menjadi. Hehe.

Dalam masa 3-4 hari mencari-cari akhirnya jumpalah sebuah bilik di Jalan Ipoh. Walaupun agak mahal untuk seorang duduk, tapi bagusnya, ianya dekat dan selesa. Cuba bayangkan post-call dan balik ke sebuah bilik yang berhawa dingin dan katil saiz queen untuk anda seorang. AAahhh nikmatnya.
Penghawa dingin - ciptaan manusia terunggul.

Seronok juga mencari rumah ni, walaupun takut tak terjumpa. Saya memang suka hidup berdikari macam ni tanpa bergantung pada sesiapa. Untuk seorang lelaki, inilah yang akan membuktikan kejantanan anda. Haha. Yang penting, berani buat, beranilah tanggung.

MASAK?

Satu perkara yang saya rindu semasa belajar di Rusia dulu adalah memasak. Almaklumlah di Volgograd tiada restoran halal, jadi setiap hari, terpaksalah memasak, walaupun letih balik kelas. Kalau tidak masak, tahanlah lapar. Cuba bayangkan lagi, musim sejuk, suhu -10 Celsius. Anda sejuk dan lapar, huhuuhu. Kenangan silam.

Mengasah balik kemahiran memasak.
Jadi bila tempat tinggal baru saya punyai dapur umum, saya rasa bersemangat pula nak memasak. Mungkin saya akan beli periuk dan bahan dalam masa terdekat. Jangan pandang rendah saya ya, bab memasak ni. Hehe. Lagipun jujur berkata, zaman sekarang ni, kalau boleh lelaki juga perlu pandai memasak, memandangkan kaum perempuan juga turut sibuk bekerja.

Jangan kita biarkan anak-anak kita kebuluran di rumah kelak akibat isteri yang sibuk bekerja, apatah lagi yang memang tidak reti memasak. :-)

O&G DI RUSIA

Semasa belajar dulu, subjek O&G adalah subjek yang dibenci. Ingat lagi kelas pertama bersama Elena Pavlovna. Pakat dengan kawan-kawan lain nak beritahu beliau, kami tidak baca apa-apa lagi untuk kelas pertama. Harap-harap hari pertama beliau hanya bawa kami pusing hospital.

Вы готовыте сегодня?”(Anda baca tidak untuk hari ini?) “Неееттт”(Tiidaaak), jawap saya seorang diri. Kawan-kawan lain semua senyap. Sejak hari tu, beliau telah cop saya sebagai budak malas. Semua yang saya jawap semuanya salah. Benci, saya telah dianiaya.
Rindu zaman belajar dulu. Hidup tanpa kisah.

Margarita Gyne pun tidak kurang hebatnya. Berleter saja setiap hari ditambah lagi dengan masalah  ‘train of thoughts’ beliau. Melompat-lompat daripada satu tajuk ke tajuk yang lain bila mengajar. Biarlah. Perkara lama. Apa-apa pun, banyak ilmu O&G yang dipelajari di sana, masih melekat di kepala saya.

PROF ZHARKIN

Satu lagi perkara menarik yang saya teringat di sana. Tidak pernah dalam sejarah kuliah Prof. Zharkin, seorang pelajar bertanya soalan di penghujung kuliah beliau. Sehinggalah seorang pelajar Malaysia angkat tangan di penghujung kuliah Hemorrhagic Shock, dan bertanya “А как может определить объем кровотечение?” (Bagaimana kita boleh tentukan jumlah pendarahan?).

Riak muka beliau sangat gembira bila ditanya dan bersemangat menjawap soalan saya. Prof Zharkin mula menjawap dengan menceritakan, bahawa beliau telah ditanya soalan yang sama ketika peperiksaan sewaktu belajar dulu. Dan beliau tidak dapat menjawapnya. Waauu, bangganya saya tanya soalan tu!!
Dalam perjalanan ke hospital Bolnichniy Kompleks.

Saya ponteng kuliah minggu berikutnya. Kawan-kawan kata Prof Zharkin cari mana pelajar yang tanya soalan hari tu. Haha. Mungkin beliau sudah lupa, sayalah pelajar sama yang dimarahinya teruk depan pelajar lain setelah tidur semasa kuliah semester lepas. “Заачееемм ходил на лекцию??!!” (Buat apa datang kuliaahhh??!!)

TAGGING

Tagging di O&G walaupun meletihkan, seperti tagging di jabatan lain, tetapi menyeronokkan. Apatah lagi, saya tag bersama 6-7 HO lain. Jadi adalah geng hendak bersembang, geng kena marah sama-sama, takut sama-sama. Tidak seperti jabatan lain, selepas pukul 5ptg, kami perlu tag di Wad Bersalin(LR- Labour Room), OT atau PAC(Patient Assessment Centre). 

Jadi tiadalah rutin clerk kes baru, ambil darah, bentang kes pada MO dan sebagainya. Sebaliknya kita perlu conduct delivery di LR dan assist Cesarean Section di OT. Jadi bila kita perlu ‘buat’ benda, rasa tidak bosan, malah menyeronokkan.
Jamuan perpisahan Dr Mohaimeen(bowtie). Di O&G ramai
HO penempatan pertama. Ada kalangan mereka yang membaca blog saya.

Mereka semua nampak gembira saja. HO penempatan pertama
mana boleh gembira. Tidak logik.

Malah mereka hebat kalau hendak dibandingkan
dengan saya semasa penempatan pertama dulu.
Saya juga belajar perkataan baru. Teran atau meneran. Kalau di Rusia kita kata, “Davai, davai, davai,” bila tolong ibu beranak, di Malaysia kita kata, “Teran, teran lagi. Lagi, lagi!” Rasa seperti menjadi penyorak pula memberi semangat kepada ibu-ibu.

Kita dapat lahirkan anak, uri(placenta) dan jahit luka daripada episiotomy dan sebagainya. Buat vaginal digital examination(VE) dan per speculum pun sudah menjadi kebiasaan, tanpa rasa takut atau segan. Kerana kita buat atas dasar kerja. Setelah kita boleh bayangkan lokasi cervix, os, posterior fornix dan struktur lain, insyaAllah jadi senang.

CESAREAN SECTION

Pengalaman assist C-Sect amat menggerunkan. Lagi-lagilah bila dapat MO yang emosional lagi tertekan.  “You think you’ve done surgical, you think this is easy haaah. IT”S NOOOTTTT”, saya dimarahi kerana pegang retrator tidak betul. Banyak kalilah kena marah teruk. Rasa malu je pada jururawat yang cun di OT.
Ingatkan Pinard hanya diguna di Rusia. Rupanya ada juga
di Malaysia. Ada di wad, tetapi tidak digunakan pun.
 Sehinggakan, pada C-sect ke-3 saya assist, Dr Anizah kata, “Kenapa tangan you menggigil?(melihat tangan saya menggeletar pegang diathermy)”
“Kena marah tadi.”
“Kenapa kena marah?”
“Sebab lambat(gerakkan retractor).”
“Siapa suruh lambat?”
“Saya budak baru belajar,” kata saya sedih.

Wad MH3B

Jenuh menyiapkan discharge summary.


BELANJA

Semasa tagging di LR, saya conduct delivery seorang pesakit ni. Kemudian dapat telefon suruh ambil makanan yang ditempah di luar. Hendak dijadikan cerita, suami pesakit tu, yang ada teman isterinya semasa lahirkan anak, perasanlah saya. “Takpe doktor, takpe doktor. Biar saya bayar.” HAhahah. Yea, yea makanan percuma. Bukan saya seorang saja, lebih kurang lapan orang HO punya makanan dia bayar.

Semasa kerta atas panggilan(on call) pertama saya di wad, tengah-tengah clerk kes baru, datang seorang suami pesakit bawa 2 barrel ayam KFC. Disuruhnya jururawat kongsi bersama staf yang lain. Maannntaaappp! Kan bagus kalau di setiap jabatan, perbuatan ini dibudayakan.
Atas panggilan di wad MH3B. Dari pukul 930mlm sampai esok paginya,
tiada kes baru mahupun postnatal. Jadi saya cari kerja suruh jururawat tangkap
pukul 2 pagi.

Harap-harap akan terus ada lagi makanan percuma di masa hadapan.
Sekian sahaja. Salam.


Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.