Sunday 27 June 2010

PANGGILAN KECEMASAN DARI STESEN LRT SENTUL TIMUR

Salam

Tragedi malang berlaku pada 26/6/10, 1230 pagi di Kuala Lumpur. Sebuah tren LRT telah terbabas dari landasan berhampiran stesen LRT Sentul Timur.

0035: Pusat panggilan HKL menerima panggilan kecemasan daripada polis. HKL dikehendaki menghantar  satu pasukan perubatan ke kawasan bencana dengan kadar segera.

0040: Jabatan Kecemasan telah memutuskan melantik Dr. Khairul(MO) sebagai Team commander. Sebahagian tenaga kerja akan dikerah ke kawasan bencana.

0045: Satu pasukan yang melibatkan 6 HO(termasuk saya), 4 jururawat dan 2 MA telah dipilih untuk menyertai pasukan kecemasan.


0050: Saya bersama ahli pasukan yang lain telah diarahkan berkumpul di Dewan Dato' Abu Hassan. Taklimat telah disampaikan oleh Dr. Khairul berkenaan kes kecemasan dan maklumat terkini.

Strategi dan pembahagian tugas telah dilakukan. Langkah pertama di kawasan bencana adalah untuk menetapkan kawasan Medical Base Station(MBS) dan membinanya dengan kadar segera. MBS akan dibahagikan kepada Resus, Semi-critical dan Green zone.




Gambar: Dr Khairul memberi taklimat tentang apa yang patut dijangkakan
di tapak bencana nanti.

Saya bersama Dr. Teo telah ditugaskan bersama Triage Officer MA Hazami di Pintu Masuk(Entry Point) kawasan bencana. Bagi setiap kawasan bencana, semua mangsa mesti melalui entry point sebelum boleh dibawa ke MBS. Ini supaya jumlah mangsa dapat direkodkan dan supaya keadaan terkawal. Bergantung kepada kawasan dan keadaan bencana, mungkin boleh terdapat lebih daripada satu entry point. Tugas kami di sini adalah untuk melabelkan mangsa dengan Triage tag mengikut kriteria yang ditetapkan.

Pembahagian:-
  • Pesakit mampu berjalan sendiri - Green tag.
  • Pesakit tidak mampu berjalan - Yellow atau Red tag.
  • Red tag - jika pesakit mempunyai salah satu daripada tanda berikut :-
  1. Unconscious
  2. Breathing abnormalities
  3. Circulation abnormalities
Saya tidak puas hati, dan minta Dr. Khairul letak saya di Resus. Tetapi Dr. Khairul kata, kita perlukan lelaki di Entry point untuk membawa pesakit ke MBS. Saya pun terpaksa mengalah.

Sementara pasukan diberikan taklimat, semua barang keperluan untuk membina MBS telah diangkut ke dalam ambulans.

0100: Pasukan kecemasan HKL bertolak ke stesen LRT Sentul Timur. Semasa di dalam ambulan, dengan bunyi siren ambulan memecah kesunyian malam, dengan kepantasan pemandu ambulan membawa celah-celah kereta lain, jantung saya dah mula berdegup kencang. Rasa cuak pula.

0110: Kami tiba di kawasan kejadian. Di saat tu, semua ahli pasukan kelihatan cuak. Punyalah ramai orang  mengerumuni kawasan kejadian. Dapat lihat lori bomba menaikkan tangga ke landasan LRT dari bawah. Sebuah LRT dengan jelas nampak terhenti di tengah landasan. Pintu-pintunya terbuka dan ternampak kelibat manusia bermacam ragam cuba keluar.

Gambar: Kalau anda dapat lihat, bomba sedang menaikkan tangga ke landasan LRT.
Terdapat ramai orang awam.

0115: MBS telah ditetapkan 200m dari tempat kejadian. Entry point telah ditetapkan di Stesen LRT Sentul. Semua mangsa akan dibawa oleh bomba melalui pintu masuk tersebut.

Sedang saya dan ahli pasukan lain memasang katil dan mengatur peralatan, ketua pasukan bomba datang dengan khabar berita, 2 mangsa telah disahkan mati. Adakah ini disebabkan kami lambat sampai ke tempat kejadian??!!



Gambar: Saya di depan MBS

0120: Saya telah siap bersedia di entry point. Sepanjang malam itu, ada lebih kurang 10 pesakit yang perlu diangkut menggunakan stretcher(Yellow dan Red). Yang lain kebanyakannya hanya cedera ringan dan dihantar ke Green zone di mana Dr Kean Joo bertugas. Bila berulang alik angkat mangsa dari entry point ke MBS, barulah tahu betapa beratnya manusia ni. Badan bermandi peluh!

Setelah bilangan mangsa yang masuk melalui entry point kurang, saya telah dihantar untuk membantu di MBS. Bila sampai di MBS, mangsa bersepah!! Ada pesakit yang telah di-intubate, pakai cervical collar, splint kaki dan tangan dan bermacam-macam lagi. Ada yang baring di atas katil, ada yang di atas lantai. Saya perasan tiada satu pun pesakit yang telah dihantar lagi ke hospital. Keadaan kucar-kacir sehingga tiada siapa yang perasan. Setelah satu pesakit distabilkan, datang pesakit lain.

Saya terus jumpa ketua bomba untuk menguruskan ambulan dengan kadar segera. 4 ambulan telah datang, setiap satunya dari HKL, DBKL, Bomba dan Jabatan Pertahanan Awam. Satu-persatu pesakit telah dihantar. Di dalam situasi ini, kita mesti tahu untuk mengutamakan pesakit mana yang perlu dihantar dulu. Di dalam kes ini, terdapat seorang pesakit mengandung yang mempunyai tanda-tanda keguguran. Maka beliau telah dihantar dulu.

Gambar: Ahli bomba yang sedia berkhidmat.

Gambar: Pasukan kecemasan HKL di depan ambulan kami.

Setelah semua pesakit dihantar ke hospital dan tiada lagi mangsa yang dilaporkan, kami pasukan kecemasan HKL menarik nafas lega. Masing-masing senyum-senyum memandang yang lain.

0230: Ketua bomba telah isytihar standing down order. Yakni bermaksud, tiada lagi mangsa yang dijumpai dan kawasan bencana dalam keadaan terkawal.

BERAKHIRLAH DISASTER DRILL pada malam tersebut!!! :-p

Yaaa beettuulll! Kisah di atas menceritakan disaster drill antara pihak polis, bomba dan HKL dalam untuk menghadapi kes bencana di masa hadapan. Satu pengalaman yang menarik dan banyak mengajar saya.

Gambar: Rakan sepasukan.

Gambar: Jururawat yang terlibat.

Dr Khairul dah cakap awal-awal, sebelum ni anggota HKL telah dilabel tidak serius melaksanakan tugas semasa drill sebelum ini. "Aku tahu takde sesiapa yang senyum-senyum masa drill nanti", Dr. khairul memberi amaran."Aku marah nanti, aku cakap betul ni".

Saya yang datang untuk pergi drill malam tu pun, ingat ni main-main je. Lepak di bilik pemandu, tengok Brazil lawan Portugal, sorak sana sini. Tetapi bila dicerita ianya melibatkan polis dan bomba, perrghhh baru mula rasa cuak. Di kawasan drill pun, orang awam memang ramai gila tengok. Saya rasa mereka pun tidak tahu yang itu hanyalah drill. Mangsa-mangsa pun seperti pelakon profesional, dengan make-up realistik darah dan luka. Saya tengok open fracture mangsa, nampak macam betul punya.

Gambar: Saya dan Dr. Khairul

Gambar: Mungkinkah sesi bertangkap gambar ini yang menyebabkan dua mangsa tidak sempat diselamatkan??

Seronok, kalau boleh nak buat lagi. Drill ni dibuat setiap 6 bulan saya rasa, jadi saya nasihatkan sesiapa yang berpeluang untuk serta drill jangan lepaskan, walaupun ianya berlangsung di luar waktu kerja anda.

PS: InsyaAllah, saya akan membeli kamera dalam masa terdekat. Dan insyaAllah gambar yang saya tangkap lain kali lebih jelas dan cantik. :)

Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Salam

Sunday 20 June 2010

DOKTOR YANG SAKIT

Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Salam,
Sebelum ni selalu sangat tulis berkenaan perkara yang berat-berat. Jadi kali malas nak buat rangka artikel, tulis secara spontan sahaja. Ingat nak tulis banyak-banyak masa cuti Khamis lepas, tapi kena keracunan makanan pula. Terbantut rancangan.

Dalam masa dua minggu lepas, sudah dua kali saya jatuh sakit. Minggu sebelumnya kena jangkitan acute pharyngitis. Alkisah, kerja doktor yang sesak dan meletihkan, ditambah lagi dengan sakitnya, memang boleh kecundang niat menjadi doktor.

Baru-baru ni, pelajar-pelajar perubatan di Rusia baru tamat belajar, di HKL ni juga banyak menerima HO universiti tempatan yang baru masuk. Muka semua nampak 'suci' dan 'luhur', tidak tahu malapetaka yang bakal menanti mereka.

Antara yang pindah masuk asrama, di bilik sebelah, ada budak nama Akhir dari USM. Tengah bertegur sapa, dia sebut,"Kau ada tulis blog kan? Saya cam muka. Kawan ada perkenal blog kau, saya adalah baca sikit-sikit." Woooww. Ini dah kira status selebriti ni, orang boleh kenal tanpa perkenalkan diri.

Gambar: Selain HO, MA perempuan yang pertama juga sudah mula
bekerja di HKL. Munirah sedang cuba memasang branulla di tangan pesakit.

Kalau di Peads dulu memperkenalkan saya dengan dunia perubatan, Surgical mengajar saya tentang disiplin dan kesempurnaan dalam melaksanakan kerja, kini A&E melatih saya untuk menjadi doktor yang sebenar. Dalam erti, berfikir dan bertindak sebagai seorang doktor seolah-olah nyawa atau nasib pesakit itu terletak pada bahu saya seorang sahaja. Memang MO akan tetap ada, tetapi sebelum MO sampai atau tanya saya, saya perlu ada working diagnosis di fikiran saya, apa basis nya, apa differential-nya, apa further investigation yang saya mahu/telah buat, dan apa initial treatment yang saya akan lakukan.


Gambar: Sedia berkhidmat di Yellow zone(semi-critical) seorang diri,
demi negara. 

Kalau di jabatan lain, saya cuma bentang kes, dan MO akan tentukan halatujunya. Kini saya perlu buat full workout terhadap pesakit, dan bentang kes dengan diagnosis yang terbukti. Kadang-kadang MO cuma nak tahu apa diagnosis saya dan apa basis diagnosis saya. Kalau dia yakin dengan hujah saya, dia cuma suruh teruskan pelan rawatan. Tapi masa awal-awal dulu, agak banyak juga diagnosis yang salah ataupun tidak kukuh. Namun kita belajar daripada kesilapan.

Semakin hari semakin rasa seperti doktor, tapi kereta saya masih seperti dulu - kancil mama saya. Bila saya kata saya bawa kereta kancil, jururawat pun tidak percaya. Ada ke doktor bawa kereta kancil?! Saya bukannya bakhil mahupun sengkek, tapi saya tengah tunggu Proton untuk keluarkan model baru penggati Proton Waja, yang orang kata ada mirip-mirip Mitsubishi Lancer. Dengar kata bulan November ni nak keluar. Jadi jangan memandang rendah orang yang memandu Kancil di jalanraya, kerana dia mungkin seorang DOKTOR!!

Gambar: Kancil mama yang sudah berusia lebih 10 tahun.

Tadi saya sempat berjumpa dengan kawan MRSM Langkawi dulu. Rancang hendak bermain futsal, tapi akibat kesesakan lalulintas, hujan dan tidak tahu tempat, hatta apabila saya sampai, mereka semua sudah habis main. Jadi cuma dapat pergi makan dan lepak di Original Kayu berdekatan Ampang Sports Planet. Makanannya biasa saja. Lama juga lepak, tanya-tanya apa perkembangan terbaru, kerja apa, gaji berapa. Ada yang kerja Petronas gaji besar, ada jadi freelancer buat video, ada yang baru tamat belajar mencari kerja. Baru tahu kerja doktor gaji sikit jjeee!!! Ikhlaskan niat, ikhlaskan niat....




Gambar: Sebagai jurutera Petronas yang bergaji >RM5k sebulan dan menerima bonus 5 bulan setahun akhirnya Anas(gambar bawah, kanan sekali) belanja kami semua makan.

OOhhh satu lagi, sekarang saya boleh berenang gaya bebas 100 meter tanpa henti, selepas berminggu-minggu berlatih. Siapa kata kerja doktor letih sampai tiada masa untuk benda lain. OK! Jumpa lagi jika berkesempatan. InsyaAllah saya akan tulis perkara yang lebih ilmiah di masa hadapan.

Salam

Sunday 6 June 2010

JABATAN KECEMASAN: CEPAT DAN CEPAT

Terima kasih atas sokongan pembaca semua. Jika anda rasa blog ini berfaedah bagi rakan-rakan anda yang lain, jemputlah mereka baca sekali.

Salam,
Atas cadangan pembaca, saya telah mewujudkan Facebook Page untuk kemudahan pembaca berinteraksi dan juga supaya mudah artikel terkini disebarkan ke orang ramai. Cari kata kunci SayaDoktor.
Sebelum saya teruskan penulisan saya, saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan SEMOGA BERJAYA, kepada adik-adik saya di Volgograd, Rusia yang sedang menjalani peperiksaan, terutama yang tahun ke-6 menghadapi GOS. Baca ikhlas menuntut ilmu, bukan untuk periksa, akan melapangkan dada anda. Rindu saya, hidup di Volgograd.

Gambar: Saya di Zon Merah atau Resus. Semua ada di setiap katil, cervical collar, cardiac monitoring, oxygen, alat-alat resuscitation sperti laryngoscope, ET tube dan sebagainya.
PERMULAAN

Dari Volgograd ke HKL, kini saya sudah hampir 3 minggu berada di Jabatan Kecemasan/ED- Emergency department(posting A&E - Accidents and Emergencies). Wooowww itu saya mampu katakan. Rasa takut ada, cemas, bersemangat, seronok, letih, semua ada.

Untuk penempatan ke-3 ni, sebenarnya terlalu awal untuk masuk ke ED, kerana memerlukan kriteria penempatan ke-4 dan ke atas(kerana berhadapan dengan semua kes, jadi terbaik jika sudah tamat penempatan di semua jabatan lain). Tetapi memandangkan ED ketika itu, sedang kekurangan HO, dengan kakak pasca-siswazah pun memujuk saya mengambil ED, saya pun akhirnya ditakdirkan masuk ke ED.

Gambar: Di sinilah di mana semuanya bermula. Laluan untuk ambulan.
Di HKL dan saya rasa di hospital mana pun, ED adalah tempat yang paling banyak belajar. Ini serius banyak belajar punya. Dari ECG, CPR, prosedur-prosedur, differential diagnosis, rawatan kecemasan hingga ke kes yang pelik-pelik, semuanya berlaku di ED, semuanya paling terperinci belajar di sini.

RUTIN

Perkara pertama yang saya dapati, di ED tiada tagging, yeehaaaa. Masuk terus mula kerja, sambil belajar sesuaikan diri, sambil kerja. Banyak lagi perbezaannya berbanding jabatan lain. Jadual kerja pula diaturkan mengikut shift. Sehari dibahagikan kepada 3 shift:-
  1. Pagi 8pg-3ptg = 7 jam
  2. Petang 3ptg-10mlm = 7 jam
  3. Malam 10mlm-8pg = 10 jam
Dalam seminggu kita perlu kerja lebih kurang 8 shift, termasuk 2 kali shift malam. Seminggu adalah sehari cuti. Bila kerja shift malam, selalunya kita akan kerja juga shift pagi sebelum dan selepas shift malam tu(walaupun nampak macam teruk, tapi sebenarnya lebih ringan berbanding oncall di wad). Yelah nak cukupkan kuota. Walaupun kerja dalam jangkamasa yang lebih pendek, namun keletihan fizikalnya amat memakan tenaga. Lagi-lagilah, rutin makan dan tidur kita akan bercelaru, itu mungkin faktor yang menyebabkan saya cepat letih akhir-akhir ini.

Gambar: Saya curi tidur sebentar selepas post-night shift. Ngantuk-ngantuk.

Turnover rate pesakit di ED cepat, di mana sebaik sahaja pesakit sudah stabil, kes telah dirujuk ke jabatan yang berkenaan, pesakit akan terus dihantar ke wad yang berkenaan. Kerja A&E bukan merawat sehingga sihat, tetapi menstabilkan pesakit dan rujuk kepada kepakaran yang berkenaan.

Malangnya sejak beberapa bulan lepas, HO di ED tidak dibenarkan membuat tuntutan oncall/nightshift atas arahan Ketua Pengarah Kesihatan. Bab-bab potong-potong ni memang cepat dikuatkuasakan, bab waktu rehat wajib, walaupun surat pekeliling telah dikeluarkan, tidak pernah pula. :)

ZON-ZON

Jabatan kecemasan terbahagi kepada beberapa bahagian utama, iaitu:-
  1. Triage
  2. Zon Hijau(green zone)
  3. Zon Kuning
  4. Zon Merah
Gambar: Penolong Peg Perubatan/MA di Triage

Saya masih belum berkesempatan bekerja di Triage, kerana selalunya diisi oleh HO yang lebih berpengalaman di situ. Namun fungsinya adalah, menerima pesakit di pintu hadapan ED, assess pesakit, dan tentukan samada pesakit perlu dihantar ke OPD(out patient department - bagi kes yang tidak memerlukan perhatian segera) atau zon-zon yang berkenaan bersesuaian dengan kriteria yang telah ditetapkan. Adalah penting tidak melakukan kesilapan di sini, kerana ia mungkin membawa padah kepada pesakit.

Zon Hijau berfungsi seperti klinik, cuma pesakit memerlukan perhatian segera walaupun stabil. Contoh kes adalah seperli bayi-bayi kecil yang demam, kes trauma kecil, pesakit AGE with dehydration, kes AMI yang berada dalam keadaan stabil dan sebagainya. Namun klinik zon hijau memerlukan HO bekerja dengan pantas dan cekap. Clerking, arah investigation, buat diagnosis dan beri rawatan semuanya kena cepat dan cepat.

Gamabar: Di zon hijau, kadang-kadang pesakit mengamuk sebab lama menunggu. Terlalu banyak kes.

Pada waktu awal dulu, walaupun saya rasa tak pernah saya clerk kes sepantas dan sebanyak tu dalam sehari, pada penghujung shift, MO kata, "Azzad, you have to clerk faster. This is A&E. How many case did you clerk today??!!". Menyebabkan saya masuk ke depress mood sehari. Nilah perasaan saya setiap kali bila kita dah cuba beri sebaik mungkin, lepas tu MO atau doktor pakar seolah-olah katä, "You're not good enough."

Gambar: Asthma bay sekali-sekala akan sunyi. Apabila datang hujan, itulah petanda
pesta asthma bay akan bermula.

Di zon hijau juga terdapat asthma bay, di mana semua kes AEBA(acute exacerbation of bronchial asthma), akan dihantar terus ke sini. Seorang HO akan jaga asthma bay dan beri Neb. Salbutamol/terbutaline etc dan juga IV hydrocort jika perlu. Ada juga ketika di mana pesakit berada dalam keadaan severe, yang kita perlu identify dan hantar masuk ke wad.

Zon kuning dan merah pula adalah seperti wad kecil yang menerima pesakit yang lebih kritikal. Apabila pesakit baru masuk, bunyi loceng akan dibunyi. Krriiiinnnggg. Sekali bunyi maksudnya kes zon kuning. Tiga kali bunyi maksudnya kes zon merah.

Di zon kuning, kita berhadapan dengan kes trauma yang lebih teruk, dislocation, acute abdomen, severe SOB, psychosis, AUR(acute urinary retention), head injury with LOC, drug overdose/poisoning dan sebagainya. Bila kerja di zon kuning, barulah kita tahu banyak kes psychosis di KL ni. Kes baring tengah-tengah jalanraya, mengamuk dan sebagainya.

Gambar: Di zon kuning, selalunya sibuk. Benci dengar loceng. Lagi-lagi pukul 4 pagi.

Di zon merah, inilah dikatakan 'syurga ilmu', di mana kita berhadapan dengan pelbagai kes kritikal seperti AMI, symptomatic bradycardia, SVT, v-fib, pulseless electrical activity, severe trauma with low GCS, intracranial bleeding, semua jenis shock, APE(acute pulmonary embolism), APO(acute pulmonary oedema). Di sini saya dapat lihat sendiri ECG yang jarang dapat lihat seperti SVT, hyperacute MI(impending MI), APE, 'u' wave dan banyak lagi. Keadaan pesakit boleh berubah sekelip mata. Sedang saya nak isi borang x-ray, pandang belakang, rakan HO tengah buat CPR, intubation. Tengah saya penuhkan clerking, pesakit dah SOB, BP jatuh. Jadi penting untuk kita sentiasa waspada.

KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, kerja di A&E melatih saya bekerja dengan lebih cekap, efisyen dan paling penting cepat. Semua clerking, examination, investigation, differential diagnosis dan pelan rawatan perlu berlaku dan melekat di kepala dahulu, rawat pesakit, kemudian bila pesakit stabil, barulah kita tulis balik di clerking sheet. Ini membuatkan kita rasa seperti doktor yang sebenar.

Gambar: Kolam renang bersebelahan HUKM, tempat saya melepaskan tekanan.

Saya masih perlu latihkan diri bekerja dengan cepat. Differential diagnosis saya juga perlu diasah. Kadang-kadang tu, bukan tidak tahu, cuma tidak terkeluar di kepala semasa berhadapan dengan pesakit. Bila ingat balik, rasa 'frust' bila MO nampak, kita tidak nampak tandanya. Saya masih tercari-cari strategi yang sesuai untuk buat differential diagnosis.

Sekarang ni di HKL, sudah mula masuk HO baru, yang graduate di Malaysia. Untuk adik-adik di Volgograd, bila jadi HO nanti, perjalanan hidup anda yang sebenar hanya baru bermula. : p

Gambar: Ibrahim Ali memberi ucapan sebelum solat hajat untuk Palestin, di Masjid Kg Baru. Walaupun tidak bersependapat dengan sebahagian pendirian beliau, namun di mana yang betul, kita akan sokong.